Squishy Nampak Comel Tapi Berisiko, KPDN Ingatkan Ibu Bapa Berwaspada

Sekali pandang, mainan squishy kelihatan comel dan tidak berbahaya, malah teksturnya yang lembut serta kenyal apabila dipicit menjadikannya antara mainan yang digemari kanak-kanak.

Namun, di sebalik bentuk dan warnanya yang menarik, siapa sangka mainan berkenaan juga boleh mengundang risiko keselamatan termasuk pendedahan kepada bahan kimia berbahaya, tercekik dan kecederaan akibat bahan isiannya.

Risiko itu bukan sekadar kebimbangan apabila pihak berkuasa United Kingdom pada Jun lalu menarik balik mainan Squeezy Dumplings selepas mengesan kandungan benzena berlebihan.

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC) pula turut memberi amaran mengenai bahaya mainan squishy tiruan yang boleh pecah dan mendedahkan kanak-kanak kepada bahan isian berbahaya.

Di Malaysia, aspek keselamatan mainan berkenaan turut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) apabila sebanyak 5,801 unit squishy bernilai RM70,428.70 disita kerana gagal mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan (MC).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sitaan itu hasil Pemeriksaan Khas Mainan Span Lembut (Squishy) yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Oktober lalu.

Katanya, sebanyak 1,845 premis membabitkan pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit diperiksa sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus membawa kepada 15 kes tindakan penguatkuasaan.

Penguatkuasa KPDN memeriksa Squishy yang tidak memaparkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan (MC)

“KPDN memandang serius isu keselamatan mainan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

“KPDN akan terus mempergiat pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hanya produk yang mematuhi standard keselamatan ditawarkan di pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Azman menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa supaya sentiasa menyemak label dan tanda pematuhan keselamatan sebelum membeli mainan untuk anak-anak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mainan mencurigakan pula disaran mengemukakan aduan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000 atau 019-279 4317, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

KREDIT GAMBAR: KPDN

×