Rakyat tempatan yang menjadikan lesen perniagaan milik mereka sebagai jalan mudah untuk warga asing menjalankan perniagaan di ibu negara berdepan tindakan pembatalan lesen serta disenarai hitam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, tindakan tegas itu merupakan antara langkah bagi memastikan lesen perniagaan tidak disalahgunakan oleh individu yang memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, DBKL turut diminta memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengenal pasti pemegang lesen yang menyerahkan hak penggunaannya kepada warga asing.
“Kalau kita tahu dan mengesan warga Malaysia yang dapat lesen perniagaan tetapi dia ‘sub’ (memberikan lesennya) kepada warga asing, DBKL akan membatalkan lesen itu.
“Kita memang tidak akan berkompromi dengan perbuatan itu, malah kita terus senarai hitam pemilik lesen yang didapati berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media projek naik taraf bilik multisensori pendidikan khas, mengecat bangunan sekolah dan menaik taraf gelanggang mini serba guna di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Sinar, hari ini.
Mengulas isu kegiatan perniagaan tanpa lesen dalam kalangan warga asing yang masih berlaku di Kuala Lumpur, Hannah menegaskan bahawa golongan berkenaan juga tidak akan terlepas daripada tindakan penguatkuasaan.
Katanya, DBKL sememangnya melaksanakan operasi secara berkala, namun usaha membanteras kegiatan itu memerlukan penglibatan agensi lain berikutan keterbatasan kuasa pihak berkuasa tempatan.
Justeru, beliau berkata, kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperkukuh bagi memastikan tindakan terhadap kegiatan perniagaan tanpa lesen dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian apabila terdapat rakyat tempatan yang mengambil inisiatif sendiri meninjau serta mendedahkan lokasi perniagaan dikendalikan warga asing.
Dalam perkembangan berkaitan penguatkuasaan, Hannah berkata, penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota DBKL dijangka diperluas kepada hampir keseluruhan anggota menerusi peruntukan tahun depan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan ketelusan ketika anggota penguat kuasa menjalankan tugas di lapangan.