Kalau ternampak kemalangan di tepi jalan, ramai antara kita akan berhenti untuk membantu. Kalau ada orang kena ragut depan mata, mungkin ada yang cuba mengejar, menghubungi polis atau sekurang-kurangnya memastikan mangsa tidak dibiarkan begitu sahaja.

Apabila nampak sesuatu yang tidak kena berlaku di depan mata, kita biasanya akan rasa terpanggil untuk berbuat sesuatu. Tetapi kenapa sikap yang sama seolah-olah hilang apabila kita berada di alam siber?

Kita nampak iklan yang terang-terang mencurigakan, akaun yang cuba menipu atau kandungan lain yang boleh memudaratkan orang lain, tetapi selalunya kita cuma scroll dan berlalu. Kemudian apabila ada yang menjadi mangsa, kita juga yang ‘merengek’, kenapa scam masih ada?

Persoalan itu dibangkitkan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil yang melihat sikap prihatin rakyat Malaysia di dunia nyata sebenarnya boleh dibawa bersama apabila berada di ruang digital.

“Kalau kita nampak jenayah (di depan mata), apa tindakan kebanyakan orang? Kita sebagai rakyat Malaysia biasanya akan ada satu tindakan simpati. Macam kita tengok orang kemalangan di tengah jalan, banyak orang Malaysia akan ada kecenderungan berhenti dan bantu.

“Kenapa sikap itu tak juga diaplikasikan dalam isu jenayah siber? Kalaulah semua rakyat Malaysia bersatu padu dalam memerangi jenayah siber, saya rasa akan jadi different game lah isu ini,” katanya kepada RotiKaya.

Cuba tanya orang di sekeliling sama ada mereka pernah terlihat posting atau iklan scam di media sosial. Besar kemungkinan jawapannya ‘pernah’, malah mungkin ada yang pernah hampir terpedaya.

Tetapi daripada semua yang pernah melihat kandungan seperti itu, berapa ramai pula yang mengambil masa beberapa saat untuk membuat laporan?

“Tapi kebanyakan orang hanya akan mengambil tindakan selepas dia sendiri terkena,” kata Siraj.

Selama ini apabila bercakap mengenai scam dan kandungan berbahaya dalam talian, perhatian mudah diberikan kepada kerajaan dan syarikat yang mengendalikan platform.

Kenapa masih ada? Kenapa tidak diturunkan? Kenapa tidak diambil tindakan? Semua itu soalan yang wajar, tetapi mungkin ada satu lagi soalan yang jarang kita tujukan kepada diri sendiri.

Sebenarnya, kerajaan sudah menyediakan sebahagian daripada kerangka itu menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa sejak awal tahun ini.

Antara lain, ia meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan dalam talian untuk menangani kandungan memudaratkan dan membantu menyediakan persekitaran lebih selamat kepada pengguna.

Masyarakat perlu bersama kerajaan dan pengendali platform bagi melengkapkan ekosistem internet yang selamat.GAMBAR JANAAN AI

Namun kewujudan ONSA tidak bermaksud segala-galanya kini menjadi urusan kerajaan dan penyedia platform.

Siraj melihat keselamatan dalam talian sebagai sebuah segi tiga yang menghubungkan tiga pihak iaitu kerajaan, penyedia platform dan pengguna, dengan setiap satu mempunyai peranan yang saling berkait.

“Perkara ini dia kena ada equilibrium, keseimbangan antara semua pihak. Dia tak boleh kerajaan sahaja, nanti tak jadilah segi tiga, tempanglah,” katanya.

Kerajaan mempunyai peranan dari sudut undang-undang dan penguatkuasaan, manakala platform pula perlu menjaga kepentingan pengguna serta melaksanakan tanggungjawab yang dikenakan kepada mereka.

Pada masa sama, pengguna yang berada dalam ruang digital setiap hari juga boleh membantu kedua-dua pihak dengan tidak membiarkan sahaja kandungan berbahaya yang ditemui.

“Masyarakat kena bersama memainkan peranan dia, kena ada mod memerangi jenayah siber bersama. Bukan tunggu, tengok, dan komplain,” tegas Siraj.

Sebenarnya tindakan yang dimaksudkan tidaklah sampai memerlukan kita menjadi penyiasat atau memburu scammer sendiri. Dalam banyak keadaan, ia boleh bermula dengan fungsi yang memang sudah tersedia pada platform iaitu membuat laporan apabila terlihat iklan judi, scam atau kandungan lain yang mencurigakan.

Siraj memberikan satu gambaran yang cukup mudah. Sebagai contoh, jika diandaikan terdapat 30 juta pengguna media sosial dan hanya satu peratus daripada mereka mengambil tindakan sedemikian, sudah ada 300,000 pengguna yang membantu melaporkan kandungan bermasalah.

“Kalau ada 300,000 laporan, mungkin tak sempat sehari kandungan atau iklan itu dah kena edit out. Sebab apa? Sebab pengguna bersama dengan penyedia platform. Dan jika penyedia platform ada kekangan, barulah pihak kerajaan ambil tindakan menggunakan undang-undang ni,” katanya.

Kalau difikirkan, 300,000 itu bermula daripada tindakan yang mungkin mengambil masa tidak sampai seminit seorang.

Mungkin juga satu laporan kita tidak terus menyebabkan sesuatu kandungan hilang, tetapi apabila ramai pengguna melakukan perkara yang sama, ia boleh membantu platform mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap kandungan bermasalah dengan lebih cepat.

Siraj turut mengaitkan sikap tidak membiarkan ancaman terhadap orang lain begitu sahaja dengan semangat fardu kifayah dan dalam konteks dunia digital, tindakannya menjadi sangat mudah.

“Bukankah itu juga fardu kifayah? Semudah-mudah beberapa klik sahaja untuk buat laporan,” katanya.

Akhirnya, undang-undang seperti ONSA tetap penting dan penyedia platform memang perlu bertanggungjawab terhadap ruang yang mereka sediakan. Tetapi keselamatan dalam talian juga banyak bergantung kepada bagaimana kita sendiri menggunakan ruang itu, termasuk mengambil tindakan apabila nampak sesuatu yang boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain.

Kalau di dunia nyata kita tidak sanggup melihat orang menjadi mangsa jenayah, sikap yang sama patut dibawa apabila berada di alam siber.

Jadi, lain kali apabila terlihat kandungan scam di skrin, sebelum scroll dan kemudian ‘merengek’ kenapa scam masih ada, tanya dulu satu perkara: kita dah buat apa?

×