Suami kepada Elisya Sandha iaitu Uzair Haqimy tampil mempertahankan isterinya berikutan drama Madu Atau Racun yang dikecam. 

Menerusi satu video di Instagram, anak sulung kepada pelakon Sheila Rusly berkata tidak adil jika pelakon dipersalahkan kerana watak yang digalas.

BACA: “Banyak Benda Boleh Ambil Sebagai Iktibar…Kena Tengok Sampai Habis” 

“Sejujurnya, saya tidak mahu ulas mengenai perkara ini. Tetapi, saya fikir keadaan sekarang menjadi semakin keterlaluan. Saya faham isu berkaitan drama Madu atau Racun. Saya juga faham kebimbangan netizen dan penonton… Saya benar-benar faham.

“Tetapi, pada saya, tidak adil untuk menghukum orang yang melakonkan watak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Uzair berkata jika benar mahu mengecam lakukan pada perkara yang berlaku dalam dunia realiti atau yang terjadi di sekeliling.

“Saya sangat pasti semua orang di sini kenal individu dalam industri fesyen yang antaranya merangkumi golongan LGBT termasuk golongan lelaki lembut yang menjalankan perniagaan kosmetik.

“Mereka benar-benar wujud dan bukan berlakon. Jadi, kalau benar-benar mahu mengecam atau mengharamkan sesuatu, kecamlah atau haramkanlah perkara yang benar-benar berlaku dalam realiti,” katanya.

Sementara itu, Uzair berkata dia tidak menentang jika kerajaan mengambil tindakan mahupun mereka yang bimbang dengan isu tersebut namun perlu tonton drama itu hingga ke akhir episod agar dapat mesej yang ingin disampaikan.

“Sejujurnya, saya bangga dengan mereka kerana ini bermakna mereka berjaya membawa dan menggambarkan sesuatu watak dengan baik.

“Sebab itu dalam setiap karya filem atau drama, sentiasa ada mesej yang ingin disampaikan pada penghujung cerita. Anda perlu menonton siri ini sampai habis supaya dapat memahami mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan,” katanya.

×