Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat media di China mengejutkan kakitangannya apabila mengumumkan setiap pekerja akan menerima sebuah iPhone 17 Pro Max secara percuma. Berita itu dilaporkan oleh portal Must Share News.
Pengumuman tersebut dibuat melalui satu mesej rasmi, di mana beliau menegaskan pemberian ini merangkumi semua staf tanpa pengecualian, termasuk pelajar praktikal yang sedang menjalani latihan industri di syarikat berkenaan.
Menyedari bahawa hadiah korporat di China tertakluk kepada cukai, CEO berkenaan turut menenangkan pekerja dengan menjelaskan bahawa syarikat akan menanggung sepenuhnya kos cukai tersebut. Malah, kakitangan juga diberi pilihan untuk menukar kepada model iPhone 17 lain sekiranya mereka lebih berminat dengan versi berbeza.
Ini bukan kali pertama beliau membuat kejutan seumpama itu. Pada tahun 2024, lebih 100 pekerja syarikat sama masing-masing menerima sebuah iPhone 16 Pro bersama Apple Watch Series 10 sebagai hadiah.
Langkah ini sekali lagi memperlihatkan gaya kepimpinan beliau yang gemar meraikan pekerja dengan cara luar biasa, sekaligus menjadikan syarikat media itu antara majikan paling murah hati di China.