Pelawak Ajak sekali lagi membuat kejutan buat rakan artis Ebby Yus dengan menghadiahkan cawangan baru restoran miliknya.
Menerusi perkongsian di TikTok, Ajak berkata dia menghadiahkan cawangan kedua itu selepas melihat usaha Ebby menguruskan restoran dan mahu membuka satu lagi cawangan berdekatan rumah pelakon berkenaan.
BACA: Ingatkan Bergurau, Ebby Yus Hilang Kata-Kata Ajak Hadiahkan Cawangan Restoran
“Abang Ebby ni orangnya rajin, selalu datang kedai buatkan kita rasa segan sebab dia ni rajin sangat. Bila kita tengok dia selalu datang kedai, saya jadi kesian.
“Macam mana kita nak buat supaya dia tak penat tapi boleh datang kedai. Lepas ni abang Ebby boleh datang kedai sebab dekat betul dengan rumah,” katanya.
Dalam video dikongsikan, Ajak dilihat memberi kontrak restoran berkenaan kepada Ebby untuk ditandatangan serta mengucapkan terima kasih kerana pelakon itu sentiasa menjadi tulang belakangnya.
“Alhamdulillah, saya dapat buka satu lagi cawangan. Sama juga, cawangan ini untuk abang.
“Terima kasih Abang Ebby, selalu jadi tulang belakang saya. Saya rasa semua ini asbab doa abang, terima kasih sebab selalu mendoakan,” tulisnya.
Sebelum ini, Ajak menghadiahkan cawangan restorannya di Pasar Seni kepada Ebby untuk diuruskan dalam masa yang sama membantu pelakon itu untuk mencari rezeki.