Pelakon Ashraf Muslim menitipkan nasihat kepada mereka yang mahu mendirikan rumah tangga agar melakukan kerana Allah dan tidak hanya sekadar cinta semata-mata.
Memetik HibGlam, pelakon berusia 44 tahun itu turut memberikan contoh menunaikan solat kerana Allah sama juga seperti mendirikan rumah tangga.
BACA: Ashraf Muslim Timang Anak Kelima, Pilih Nama Ali Ashraf
Malah, Ashraf turut mengatakan jika individu itu mahu berkahwin kerana untuk mengelak berlaku zina dia berpendapat mereka tidak bersedia untuk ke arah perkahwinan.
“Setiap kali solat, apa perkara pertama yang kita buat? Niat kerana Allah SWT, begitu juga kalau nak kahwin.
“Kalau kahwin sebab nak elak zina, rumah tangga bahagia, cinta atau sayang, itu semua jawapan klise. Kalau siapa bagi jawapan itu, saya akan beritahu mereka tak bersedia untuk kahwin.
“Kalau nak kahwin kerana Allah, automatik mereka akan tahu tanggungjawab dan peranan yang perlu dilakukan sebagai suami isteri,” katanya.
Sementara itu, Ashraf berkata niat dilihat nampak mudah namun impak besar terhadap sesebuah institusi perkahwinan. Malah,nikmat dalam perkahwinan dapat dirasai jika niat dari awal untuk mendirikan rumah tangga adalah kerana Allah.
“Perlu ada niat yang betul, nampak sangat ‘simple’ tetapi hakikatnya maknanya sangat mendalam. Ramai orang muda sekarang kahwin kemudian cerai sebab tak fikir benda itu di peringkat awal.
“Perkahwinan indah bila Tuhan beri macam-macam aspek dalam kehidupan berumah tangga. Kalau niat nak nikah itu betul, pasti pasangan itu akan rasai nikmat dalam perkahwinan. Semuanya perlu dilakukan kerana Allah. Ikut sahaja apa yang Allah dan Nabi sudah suruh,” katanya.