Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida tidak mampu menahan sebak apabila mendakwa terlihat tulisan kalimah Allah di langit ketika berada di banglo lamanya di Jerteh, Terengganu.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Vida menangis teresak-esak apatah lagi kejadian itu berlaku ketika dia meninjau rumah mewah miliknya yang telah lama ditinggalkan.
BACA: “Bau Wangi Semerbak Sebaik Melangkah” – Vida Sebak Ziarah Pusara Arwah Nurly
Difahamkan, rumah berkenaan bakal diubah suai untuk dijadikan pusat pengajian Al-Quran yang diberi nama Baitul Nurly Jannah, diilhamkan daripada nama arwah Nurly Sahira, mangsa tragedi nahas bas UPSI.
“Saya singgah rumah lama saya di Jerteh yang sudah lama saya tinggalkan. Kebetulan, ia hanya beberapa minit dari rumah keluarga arwah Nurly. Saya cuma nak tengok dari luar pagar sambil merakam anak bulan yang cahayanya sangat terang,” katanya.
“Tiba-tiba… Allahuakbar, luluh hati saya apabila terpampang Kalimah Allah di langit malam diterangi cahaya bulan,” tulis di ruangan kapsyen.
Menurut Vida lagi, sebelum ke rumah berkenaan dia ada berniat dalam hati untuk menjadikan rumah itu sebagai pusat ilmu untuk memperingati keperibadian mulia arwah Nurly yang cintakan Al-Quran.
“Saya memang niat nak jadikan rumah ini pusat pengajian dan penulisan Al-Quran, Baitul Nurly Jannah sebagai amal jariah dan kenangan kepada arwah Nurly Shahira yang sangat mencintai kalam Allah,” ujarnya lagi.