Anak Dharma Harun Terkejut Disuruh Berhenti Belajar

Anak kepada pelakon Dharma Harun iaitu Muhammad Al Syafiq meluahkan rasa kecewa apabila ada yang menempelak dia dan kakaknya, Siti Qurratu Aini kerana masih belajar.

Memetik BH Online, anak kedua berusia 36 tahun itu berkata lebih kecewa apabila individu tersebut pernah berjanji untuk membantu mengatakan sepatutnya mereka bekerja mencari pendapatan dan bukan terus belajar.

BACA: “Sedih Baca Kisah Dharma” – A Aida Beri Tawaran Berlakon Pada Dharma Harun

“Individu terbabit pernah datang menziarah ayah sebelum ini dan beri nombor telefonnya. Dia kata kalau ada apa-apa masalah hubungi dia.

“Jadi apabila keadaan kami terdesak disuruh berpindah rumah sewa oleh pemiliknya akhir bulan ini, saya pun hubungi dia seperti kata-katanya untuk mohon bantuan.

“Tapi agak menyedihkan apabila dia menempelak saya dan kata saya dah patut berkerja untuk cari wang dan bukan terus belajar. Memang saya terkejut jadinya,” katanya.

Menurut Syafiq lagi, dia kini bekerja secara sambilan serta memberitahu dia dan kakaknya mahu belajar kerana ingin mencari pekerjaan yang baik bersama bapa mereka selepas tamat pengajian 

“Saya baru tahun pertama dalam Fakulti Penulisan Kreatif dan filem (FPKF) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Tetapi sudah selesai semester satu dan dua. Selepas ini saya akan selesaikan semester tiga hingga lima.

“Kakak saya juga pelajar Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA. Dia tinggal satu semester lagi iaitu semester lima kemudian enam (untuk latihan industri). Tahun depan dia sudah mula kerja.

“Sikit sahaja lagi tinggal tiga bulan sahaja. Takkanlah dia nak kena berhenti? Tolonglah bagi sikit ruang. Kakak saya sudah hendak tamat belajar pun. Tolonglah bagi sikit lagi sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, Syafiq berkata ianya amat merugikan jika dia berhenti belajar kerana prestasinya di ASWARA amat bagus dan wajahnya sering terpampang di sana.

Sumber: BH Online

×