Penerbit Datuk A. Aida menawarkan tawaran berlakon kepada pelakon veteran Dharma Harun dalam sebuah telefilem yang bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat.

Memetik mStar Online, Aida berkata dia tersentuh membaca kisah Dharma yang berdepan tekanan hidup selepas tidak menerima sebarang tawaran berlakon sejak beberapa tahun lalu.

BACA: Berat Hanya 45 Kg, Tiada Tawaran Kerja Antara Faktor Dharma Harun Alami Tekanan

Menurut Aida lagi, dia erharap pertolongan kecil tersebut mampu mengurangkan beban dan bawa semangat baru Dharma untuk teruskan kehidupan.

“Saya sedih membaca kisah Dharma dan apa yang berlaku terhadapnya sangat menyentuh hati saya.

“Kebetulan produksi saya bakal menjalani penggambaran telefilem, jadi saya minta olah semula jalan cerita dan reka watak khas yang sesuai dengan keadaan kesihatannya. 

“Asalnya watak itu untuk seorang ibu, tetapi kami tukar kepada karakter seorang ayah. Ceritanya pun disesuaikan agar tidak memberi tekanan kepada Dharma.

“Saya berharap peluang kecil ini dapat menyuntik semangat untuk dia terus berkarya dan membina kembali keyakinan diri,” katanya.

Sementara itu, Dharma meluahkan rasa syukur dan tidak sangka menerima tawaran berlakon apatah lagi diusia sekarang 68 tahun serta mengucapkan terima kasih kepada A Aida.

Saya ingatkan A Aida nak jumpa untuk melawat saja, tapi tak sangka dia datang bawa tawaran berlakon. Saya sangat berterima kasih.

“Saya terharu kerana di usia begini masih ada yang sudi menawarkan saya kerja. Saya dah lama tak berlakon sebab lebih aktif di belakang tabir sebagai penerbit. Tapi tawaran ini benar-benar mengejutkan saya. Ia membuktikan masih ramai yang ingat dan sayangkan saya,” katanya.

Sumber: mStar Online

×