Penyanyi Datuk AC Mizal meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan dikeluarkan komposer Ajai yang menyatakan kumpulan 4U2C tidak boleh mengadakan konsert tanpa kebenaran pemilik lagu yang bakal dinyanyikan.

Memetik mStar Online, AC berkata Ajai sudah lama dalam industri namun seolah tidak faham mengenai perundangan muzik yang terkandung dalam Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

BACA: AC Mizal Nafi Dakwaan Tak Bayar Gaji Pekerja, Anggap Ia Fitnah

Malah, AC turut menganggap kenyataan Ajai itu seolah mahu menutup periuk nasi kumpulan mereka sedangkan dia tidak pernah mengganggu kumpulannya untuk melakukan konsert.

“Saya kecewa bila dia kata 4U2C tak boleh buat konsert. Kenapa dia nak tutup periuk nasi kami? Apa masalah dia? Saya tak pernah kacau Exists nak buat konsert.

“Kami ada permit kelulusan daripada MACP, jadi maksudnya sekarang ini Ajai yang dah lama dalam industri pun tak tahu perundangan muzik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili 4U2C  memberitahu sesiapa yang mengeluarkan kenyataan memburukkan imej kumpulan itu perlu membuat permohonan maaf dalam masa 24 jam atau pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

Terdahulu, hangat diperkatakan apabila Man Senoi dan isterinya, Mama Rap mendakwa tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert 4U2C meskipun mereka memiliki hak sepenuhnya ciptaan 25 lagu kumpulan itu.

Sumber: mStar Online

×