Penceramah selebriti, PU Azman yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang menjalani rutin harian dengan mengajar agama kepada banduan lain.
Perkara itu dikongsikan oleh peguamnya Mohamad Zahid Ahmad, dalam satu hantaran di Facebook dengan keizinan anak guamnya.
BACA: Hukuman Penjara PU Azman Dikurangkan Kepada 12 Tahun
Menurutnya, penceramah berusia 44 tahun itu berada dalam keadaan baik dan sudah menghafal empat juzuk Al-Quran sepanjang berada dalam penjara.
“Untuk pengetahuan semua, beliau berada dalam jagaan yang baik dan setiap hari beliau mengajar banduan di dalam penjara dan ada kalanya berkongsi ilmu dengan pegawai penjara.
“Beliau mohon didoakan dan dimaklumkan kini telah menghafaz empat juzuk al-Quran,” katanya.
Sementara itu, PU Azman turut meminta untuk membawakan buku baru setiap kali mereka bertemu dan kehidupan di penjara bukan sesuatu yang mudah.
“Hanya beliau sahaja yang tahu apa yang beliau rasa. Namun setiap orang ada jalan dan ceritanya sendiri. Saya yakin apa yang terjadi kepada sahabat saya adalah ujian terbaik di sisi Allah,” katanya.
Terdahulu, hukuman penjara yang dikenakan terhadap PU Azman dikurangkan kepada 12 tahun berbanding 24 tahun atas dua pertuduhan kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada tiga tahun lalu.
Sumber: Malaysia Gazette