PRIHATIN dengan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin di Gaza, Malaysia akan menggerakkan dua inisiatif segera termasuk usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di wilayah tersebut.

Selain itu, Malaysia dengan kerjasama kerajaan Jepun pula akan menggerakkan kutipan dana bagi pembangunan semula wilayah berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha pembinaan tiga kemudahan itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.

Sementara itu, usaha kutipan dana pula akan digerakkan menerusi program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Alhamdulillah atas usaha Kerajaan dan Menteri Luar, kita telah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur, maknanya program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Bagi pihak Malaysia, dengan usaha ini, dan usaha yang saya percaya bersama dengan rakyat dan kolaborasi dengan sektor swasta, Insya-Allah kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat.

“Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya dalam satu rakaman video hari ini.

Pembangunan semula Gaza dijangka menelan kos RM4.5 trilion

Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, berkata pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).

Beliau berkata, jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah, secara keseluruhannya musnah.

Rancangan pembangunan semula Gaza perlu dimulakan selepas pengumuman gencatan senjata di Gaza pada 19 Januari lalu. Perang di Gaza dilaporkan telah meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal.

Syed Ibrahim Syed Noh

Sementara itu, mengulas pengumuman itu, Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata ia satu perkembangan yang amat baik dan wajar disokong.

“Jika boleh, pada pandangan saya, jadikanlah sebagai program sokongan daripada seluruh rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta supaya tabung pembangunan itu mantap dan boleh membangun lebih banyak kemudahan awam, bukan saja hospital, sekolah dan masjid tetapi juga projek pertanian dan pembangunan ekonomi Gaza dan Palestin,” katanya.

Penganalisis sosiopolitik, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, pengumuman ini menyerlahkan komitmen dan pendekatan kerajaan Madani yang pragmatik dan berkesan dalam hubungan antarabangsa.

Sekaligus tambahnya, kepimpinan Malaysia sentiasa dihormati dalam isu antarabangsa.

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri

“Inisiatif CEAPAD bersama Jepun membuktikan keberkesanan diplomasi Malaysia. Di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, Malaysia telah membuktikan komitmen yang jitu dan berterusan dalam membantu Palestin.

“Bukan sekadar retorik, tetapi tindakan konkrit yang memberi impak nyata kepada rakyat Palestin. Kesungguhan Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin mencerminkan nilai-nilai Madani yang mementingkan keadilan, kemanusiaan dan pembangunan lestari,” katanya.

Beliau yakin usaha tersebut tidak akan terhenti tetapi disusuli pelbagai program lain.

“Sudah pasti kerajaan akan memperkenalkan program pembangunan semula Gaza yang terancang membabitkan pelaburan dalam infrastruktur dan modal insan. Lebih penting pembinaan pembinaan kapasiti untuk masa depan Palestin yang lebih cerah,” ujarnya.

×