Penyanyi Ina Naim menjelaskan ketiadaan anak keduanya, Sallman Elkhoyri pada majlis pernikahannya kerana anaknya itu takut dengan wartawan dan tertidur.
Menerusi sesi siaran langsung, Ina berkata anaknya berusia 14 tahun itu juga sengaja sibukkan diri dengan membantu kerja-kerja kenduri kerana takut diserbu oleh wartawan.
BACA: Pertama Kali Ina Naim & Suami Live Di TikTok Dapat 2 Juta Likes
“Ramai tanya pasal Sallman, hari pertama memang sibuk angkat dulang dan makanan sebab nak elakkan wartawan bertanyakan soalan kepadanya.
“Dia takut wartawan kejar, masa saya tengah sibuk mekap, dia kata ibu ramainya wartawan. Lepas itu, adik-beradiknya beritahu mungkin dia ke kubur arwah bapanya. Kemudian, Sallman ke masjid dan balik ke rumah.
“Saya agak dia merajuk, rupa-rupanya Sallman masuk dalam bilik dan tertidur,” kata Ina.
Sementara itu, Ina berkata Salman tidak seperti anak sulungnya, Ehmad Hadie Elfardie yang sentiasa bersedia berdepan dengan pihak media.
“Dua anak perempuan saya, wartawan tak bertanya. Hadie pula memang sentiasa bersedia, manakala Sallman tak berani nak bercakap,” katanya.
SUMBER: Harian Metro