Iwan Syukur dapat ‘Hidayah’ Umur 49 Tahun Ketika Dalam Tabligh

Komposer dan penyanyi lagu kerohanian, Iwan Syahman meluahkan rasa syukur mendapat hidayah ketika berusia 49 tahun dan hidupnya kini semakin tenang.

Memetik Harian Metro, penyanyi berusia 63 tahun itu berkata dia menyertai tabligh pada awal penghijrahannya untuk mengenal agama dan mendekatkan diri pada Tuhan kira-kira 14 tahun lalu.

BACA: ‘“Dia Ada Suami, Sebagai Bapa Saya Tak Boleh Campur Sangat” – Iwan

“Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan saya bersyukur mendapatnya (hidayah) ketika berumur 49 tahun. Sekarang, hidup saya makin tenang dengan berdakwah,”

“Saya dapat hidayah Allah ketika dalam tabligh dan syukur Alhamdulillah, ia membawa perubahan dalam hidup saya menjadi seperti ini sekarang. Baru saya tahu, dalam kehidupan kita ini perlu berdakwah,” katanya.

Sementara itu, Iwan berkata dia terdetik untuk mendekatkan diri dengan agama selepas melalui perceraian dan mahu mengubah cara hidup dengan mengikuti tabligh.

“Apapun, hati saya mula terdetik ingin mengenal agama lebih dekat selepas melalui perceraian rumah tangga dan terlalu memikirkan anak-anak. Bagaimana kasih sayang mereka terhadap saya sekiranya terbiar.

“Isteri hilang boleh ganti, tapi kalau anak hilang macam mana? Dari situ, saya mula memikirkan perlu mengubah cara kehidupan dan ikut tabligh dengan fokus pada ibadat selama dua tahun untuk betul-betul membiasakan diri,” katanya.

Dalam pada itu, bapa sembilan anak ini berkata, Allah memberi hidayah kepada hamba-Nya sama ada cepat atau lambat. Katanya lagi, kita tidak boleh mengadili seseorang kerana penghujung hidupnya tiada siapa tahu kecuali Allah.

SUMBER: Harian Metro

×