SPRM Beku 20 Akaun Milik Pasangan Pempengaruh Bernilai RM740,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membekukan kira-kira 20 akaun perbankan bernilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam membabitkan pasangan pempengaruh serta dua lagi individu.

Memetik Harian Metro, sumber berkata akaun yang dibekukan itu adalah milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

BACA: Pasangan Pempengaruh Disyaki Sudah Kutip Derma RM3 Juta Sejak 2020

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan pembekuan akuan-akaun tersebut.

Menurutnya, sitaan dan pembekuan akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Terdahulu, SPRM mendapat kebenaran menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang sebelum ini ditahan pada 10 Julai lalu kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

SUMBER: Harian Metro

×