“Saya Belum Layak Pegang Gelaran Biduanita Negara”

Penyanyi terkenal, Ziana Zain berkata dia menyifatkan dirinya tidak layak untuk dicalonkan sebagai penerima gelaran Biduanita Negara ketiga.

Memetik Kosmo, Ziana berkata dia menyedari belum cukup pengalaman dan gelaran tersebut hanya layak diberikan kepada anak seni serba boleh dan hebat dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

BACA: “Jangan Hakimi Puteri Sarah Sebab Awak Bukan Dalam Kasut Dia” – Ziana Zain

“Pengalaman saya baru 30 tahun dalam industri dan belum layak jika hendak diberikan gelaran Biduanita Negara. Perjalanan saya sebagai anak seni dalam industri ini pun belum sampai setengah abad.

“Ramai lagi artis senior saya yang lebih layak kerana mereka sudah lakukan pelbagai perkara dan bekerja kerjas pada zaman kegemilangan,” katanya.

Sementara itu, Ziana berkata generasi sekarang mungkin kurang mengenali artis yang terlebih dahulu mencipta nama dalam industri seni tempatan dan antarabangsa.

“Orang muda kurang kenal dan mungkin pada zaman sekarang mereka (artis senior) tidak ke depan, jadi orang tidak tahu.

“Saya takut ada perasaan tidak adil kepada senior kita. Mereka adalah inspirasi untuk kami jadi lebih baik pada hari ini,” katanya.

Namanya antara disebut sebagai artis yang layak memegang gelaran Biduanita Negara, Ziana berkata dia enggan campur tangan dalam urusan pemilihan dan perkara itu haruslah ditentukan oleh juri yang lebih arif.

“Datuk Sharifah Aini memang layak bergelar Biduanita Negara kerana bakat dan penglibatannya dalam bidang suara, pengacaraan dan lakonan. Itupun mengambil masa bertahun-tahun sebelum diiktiraf.

“Kita tak boleh calonkan diri sendiri. Setiap peminat memang mahukan yang terbaik buat artis kesayangan mereka, namun mereka golongan yang mungkin tidak faham maksud sebenar gelaran tersebut. Saya belum boleh terima gelaran itu, terlalu besar,” katanya.

SUMBER: Kosmo

×