Balu Allahyarham Abam, Siti Norhidayah mengambil keputusan tidak mengenakan kadar faedah empat peratus yang dikenakan ke atas adik iparnya Ali Puteh dalam tuntutan saman RM75,486.
Memetik BH Online, peguam mewakili Hidayah iaitu Ibrahim Mohamad berkata dia mendapat arahan anak guamnya untuk mengetepikan kadar faedah itu serta diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan bayaran.
BACA: Peguam Perjelas Sebab Hidayah Tolak Wang Dibawa Ali Puteh
“Selepas berjumpa dan berbincang dengan Hidayah, beliau bersetuju menerima wang dibawa Ali sebanyak itu sebagai penyelesaian penuh dan muktamad, asalkan dibuat secepat mungkin dalam tempoh seminggu.
“Ali boleh membuat pembayaran di firma guaman saya atau meminta nombor akaun bank Hidayah dan masukkan dalam akaun itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim menjelaskan bayaran faedah adalah biasa dalam mana-mana penghakiman mahkamah. Jelasnya, pihak yang mendapat pampasan berhak menuntut antara 4 hingga 5 peratus faedah bagi menggalakkan orang yang berhutang membayar secepat mungkin amaun yang perlu dijelaskan.
“Apabila Ali datang secara mengejut, saya tidak mendapat arahan lanjut daripada Hidayah sama ada untuk mengetepikan kadar faedah empat peratus itu untuk tempoh setahun lampau.
“Tetapi saya percaya, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara mudah sebab kedua-dua pihak ada keinginan ke arah itu,” katanya.