Penyanyi Ernie Zakri tampil mengulas mengenai dakwaan seorang individu yang mengatakan dirinya menjalinkan hubungan sulit dengan pemuzik, Anwar Amzah.
Memetik Harian Metro, Ernie menyifatkan dakwaan tersebut mengarut dan individu tersebut sudah lama mengganggunya di media sosial.
BACA: Ernie Zakri Akan Beritahu Syamel Siap-Siap Kalau Nak Merajuk
Menurut Ernie lagi, dia turut menyifatkan individu berkenaan mempunyai masalah mental kerana kerap mengambil tahu tentang kehidupannya serta keluarga.
“Saya rasa orang (individu) itu sakit. Kenapa kita nak layan orang yang kurang berakal? Saya berasa kami diganggu orang yang sama kerana Anwar (pemuzik) turut mendapat mesej yang sama seperti saya dan suami (Syamel).
“Ketika Anwar beritahu mengenai perkara itu, kami tergelak kerana sudah kerap dapat mesej sebegitu,” katanya.
Dalam pada itu, Ernie mendedahkan individu tersebut menganggunya dan Syamel sejak mereka bertunang lagi serta sudah pun menasihati individu berkenaan.
“Individu ini seperti banyak masa nak menggali kehidupan masa kini dan lampau saya. Saya tak tahu sama ada individu ini obses pada saya atau Syamel? Mungkin dia tidak boleh terima perkahwinan kami.
“Saya pun tak sangka wujud orang seperti itu. Kami diganggu individu ini sejak bertunang lagi. Saya doakan yang baik-baik buatnya,” katanya.
Kata Ernie lagi, dia juga tidak mahu memberi perhatian terhadap dakwaan individu itu kerana baginya hanya membuang masa. Katanya lagi, dia juga akan berhati-hati untuk memuat naik hantaran di media sosial selepas ini.
“Apa yang terjadi ini buatkan saya dan Syamel lebih berhati-hati untuk menjaga hubungan kami dan berkongsi di media sosial. Tak semua orang suka tengok kita berdua dan berkongsi video ‘sweet’. Hal ini terjadi mungkin disebabkan cemburu,” katanya.