Duit Banyak Habis, Rasa Tertipu, Lando Tak Jadi Bertanding PRN

Pelakon yang juga aktivis masyarakat, Lando Zawawi berkata dia tidak jadi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini berikutan masalah kewangan dihadapi selepas PRU15 yang lalu.

Memetik Harian Metro, menerusi siaran langsung di media sosial miliknya, Lando berkata keputusan itu dibuat susulan berasa dirinya ditipu oleh parti diwakilinya kerana gagal menggotakan janji mereka sebelum ini.

Malah, katanya lagi banyak wangnya habis ketika bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 serta berharap pengalamannya itu dijadikan teladan buat orang lain untuk lebih berhati-hati.

“Saya berterus-terang pengalaman saya ini agar jadi satu teladan kepada semua calon di luar sana supaya berhati-hati dengan parti politik.

“Perbincangan dengan satu parti semasa PRU15, saya tanya bagaimana dengan bajet? Mereka kata pakai duit sendiri,” katanya.

Sementara itu, Lando berkata kos perbelanjaan digunakan sepanjang tempoh berkenaan ditanggung sendiri dan perlu menggunakan kos yang besar kerana bergerak atas nama Brotherhood 

“Mungkin saya tak boleh tampung semua kerana itu PRU yang lebih besar, bukan macam sekarang. Saya kini berhati-hati dengan parti politik.

“Saya disuruh guna duit sendiri dulu dan dikira kemudian. Sampailah akhirnya duit saya digunakan terlebih dahulu

“Apabila keputusan dikeluarkan mereka terus senyap. Ingatkan habis di situ saja, rupanya orang-orang parti yang bekerja pun tak dapat bayaran,” katanya.

Dalam pada itu, Lando mendakwa parti berkenaan masih belum melunaskan janji mereka untuk membayar semula wang yang telah digunakan.

Menurutnya lagi, dia sudah pun menghantar surat kepada Presiden parti namun dia mendapat tahu bajet yang diperuntukkan untuknya sudah habis digunakan sebelum dirinya dicalonkan.

“Tenaga kerja yang dipanggil ranting parti menuntut RM20,000 dari parti berkenaan, wang sendiri sekitar RM70,000 ke RM80,000 belum dilunaskan.

“Saya hantar surat kepada Presiden. Apabila semak, rupanya bajet itu ada tapi habis sebelum saya dicalonkan. Hairannya kerana yang berjanji dengan saya bukan calang-calang kerana ‘level’ (peringkat) mereka tinggi,” katanya.

Sementara itu, Lando mendedahkan dia menerima tiga tawaran dari parti berbeza namun masih dengan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana daripada mereka.

“Pendirian kami tidak berparti sampai bila-bila sebab dalam Brotherhood pun ada penyokong pelbagai parti. Mereka diizinkan untuk undi parti mana kerana itu hak mereka.

“Sebenarnya kerusi Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak membawa erti yang besar pada saya. Sebabnya dari dulu sampai sekarang pun banyak YB (Yang Berhormat) minta tolong saya juga,” katanya.

Terdahulu, Lando bertanding di Parlimen Tanjung Karang menerusi kerusi daripada parti Pejuang. Namun, tewas kepada calon Perikatan Nasional iaitu Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi.

×