Aiman Tino Masuk UMNO

Penyanyi Aiman Tino menyertai UMNO selepas menyerahkan borang keahlian di Pejabat UMNO Bahagian Hulu Selangor, malam tadi.

Memetik Harian Metro, borang itu diserahkan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Omar Al-Khattab Kasim.

BACA: Aiman Tino Nikah April Ini

Menurut Aiman, penyertaannya itu bukanlah perkara luar biasa kerana bapanya Yusri Ishak sebelum ini pernah memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian berkenaan.

Ujarnya, dia menyertai UMNO dengan kerelaan hati serta mahu meneruskan legasi kepimpinan dan perjuangan bapanya.

“Saya memilih UMNO sebab pada pandangan saya hanya parti inilah yang mampu memartabatkan agama, bangsa dan negara sejak dahulu, kini dan selamanya.

“Walaupun ketika ini sokongan orang Melayu terutama golongan muda terhadap UMNO semakin berkurangan tetapi saya yakin UMNO akan bangkit kembali pada masa hadapan,” katanya.

Difahamkan, Aiman juga dilantik sebagai Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda Bahagian Hulu Selangor, Selangor.

Dalam pada itu, Aiman berkata dengan penyertaannya itu diharap dapat menarik sokongan golongan muda untuk menyertai UMNO. Meskipun tugas diberikan bukan mudah namun Aiman berkata dia yakin mampu untuk melakukannya.

“Saya yakin dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pejuang tegar parti yang begitu ramai di bahagian ini, saya mampu menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Ini adalah juga satu cabaran baharu dalam hidup saya dan berikanlah peluang serta kerjasama kepada saya supaya amanah parti dapat saya jalankan dengan berkesan,” katanya.

×