fbpx

Peguam Teliti Rakaman Video Tular Syamsul Yusof & Kazar Di Kedai Emas

Sejak semalam tular video memaparkan pengarah terkenal, Syamsul Yusof bersama pelakon, Kazar yang juga bapa didakwa kekasih Syamsul, Ira Kazar di sebuah kedai menjual barangan kemas.

Memetik Harian Metro, peguam kepada pelakon Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya akan meniliti rakaman video berkenaan.

BACA: Syamsul Yusof & Kazar Buat Konten Di Kedai Emas Dikecam, Netizen Kata Tak Jaga Hati Puteri Sarah

Menurutnya, jika rakaman terbabit didapati melanggari perintah interim injuksi yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen terhadap Ira serta pihak berkaitan, pihaknya akan mengambil tindakan.

“Saya baru difahamkan mengenai klip video itu tapi pihak kami akan menelitinya terlebih dulu. Saya enggan menghakiminya pada peringkat ini kerana kami perlu ‘study’ dulu sama ada dia (Ira Kazar) melanggari perintah interim injuksi ini.

“Selepas itu barulah kita akan membuat rumusan jika perkara ini mempunyai kaitan dengan penghinaan sebab interim injuksi ini bukan setakat kepada Ira seorang saja, tapi ejen-ejen serta pihak yang mempunyai kaitan dan jelas bapa dia mempunyai kaitan dengannya.

“Kalau kita rasa ada pelanggaran perintah mahkamah dan barulah pihak kami akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Puteri Sarah bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut serta menyerahkannya kepada peguamnya.

“Saya enggan komen mengenai video itu, saya serahkan kepada peguam untuk meneliti rakaman video itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan video tular itu, Syamsul dikecam oleh netizen kerana tidak menjaga hati keluarga termasuk isterinya, Puteri Sarah.

Semalam, mahkamah memerintahkan Ira Kazar berhenti mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar sebarang kenyataan atau apa saja gangguan terhadap Puteri Sarah.