Kenapa Air Kumbahan Penting & Perlu Dirawat? Ini Sebabnya

Pernah tak anda terfikir kenapa ye air kumbahan penting dan perlu dirawat?

Hmm, mungkin ada dari anda yang malas nak ambil tahu, tapi sebenarnya ilmu macam ini lah yang anda perlu highlightkan.

Air kumbahan atau air sisa ialah air yang telah digunakan oleh penggunaan manusia termasuk selepas penggunaan tandas, air mandi atau juga air yang kita guna bila kita basuh pinggan dan baju.

Maknanya kalau kita di rumah, air sisa kumbahan itu datang dari tandas, sinki, mesin pencuci pinggan, mesin basuh, tab mandi, dan juga pancutan mandian.

Air kumbahan ini akan melalui sistem pembetungan dan akan mengalir ke loji rawatan air kumbahan untuk dirawat melalui proses tertentu.




Proses rawatan kumbahan yang cekap adalah sangat penting bagi memastikan air kumbahan ini dirawat dengan baik dan selamat untuk disalirkan ke dalam sistem pengairan (sungai, parit dan laut).

Pastikan Air Kumbahan Dirawat Baik

Sebelum tu, anda tahu tak siapa yang bertanggungjawab dalam memastikan air kumbahan dirawat sebelum disalurkan ke dalam sistem pengairan seperti sungai, parit dan laut?

Haa, jangan kerut sangat dahi tu. Pada anda yang tak tahu, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd adalah syarikat pembetungan nasional yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan pembentungan kepada rakyat Malaysia.

Lebih 27 tahun mereka berkhidmat demi memastikan air sisa yang disalurkan ke loji rawatan kumbahan IWK dirawat dengan baik sehingga dapat dilepaskan dengan selamat ke persekitaran.

Ini bagi membantu negara untuk memelihara sumber air, melindungi kesihatan awam dan juga mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat.

Nampak tak? Besar sungguh tanggungjawab yang mereka pikul kan?

Oh, Ini Sebabnya!

Sebab itulah amat penting untuk anda ambil tahu kenapa air kumbahan perlu dirawat oleh pihak IWK.

Bukan itu sahaja, anda juga perlu tahu apa kesan yang terjadi sekiranya air tidak dirawat.

Antaranya boleh berlaku pencemaran air minuman yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air, penyakit berjangkit, jangkitan kulit, cirit-birit dan banyak lagi penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan anda.

Kredit: Harian Metro

Selain itu, IWK juga terpaksa berhadapan pencemaran yang diakibatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa secara haram ke dalam sistem pembetungan. Ini juga menyebabkan pencemaran sungai dan menyebabkan banyak masalah lain timbul seperti ikan mati, ekosistem sungai rosak, air sungai menjadi busuk dan juga berwarna hitam.

Eee, baca yang ini pun dah dapat bayangkan macam mana lah kalau perkara ini terjadi kepada kita. Hidup tidak tenang jadinya! Seram bhai.

Dan cuba pula anda bayangkan sekiranya pihak IWK tidak ada, siapa yang akan menguruskan kerja yang ramai menganggap ianya kotor dan menggelikan ini? Anda sanggup?

Perlukan Kecekapan

Anda perlu sedar, sekiranya rawatan air sisa kumbahan gagal, ianya boleh menyebabkan air yang tidak terawat menyerap masuk ke persekitaran kita, terutamanya ke sumber air seperti sungai.

Jadi, kita perlukan orang yang cekap untuk menguruskan kerja pengurusan kumbahan bagi memastikan keselesaan hidup seharian kita.

Ramai yang mungkin tidak sedar atau tidak mempedulikan perkhidmatan diberikan IWK dalam menyelenggara sistem kumbahan negara.

Tapi pernahkah anda terfikir apakah akibat dan kesannya kepada kebersihan alam sekitar, terutamanya sumber air negara seperti sungai dan laut di negara kita?

Sebab itulah wira yang tidak didendang seperti IWK sentiasa ada di barisan hadapan untuk membantu kita semua.

Mencapai Kemampanan Kewangan, Operasi & Alam Sekitar

Oh ya, nak menguruskan sistem kumbahan ini bukan main buat jer. Ia memerlukan kos yang tinggi dan teknologi yang canggih. Barulah kerja pembentungan ini diselenggara dengan efisyen.

Sepanjang 27 tahun berkhidmat, caj yang diberikan IWK tidak berganjak. IWK tidak pernah menaikkan caj perkhidmatan mereka. Malah, kos operasi IWK kian meningkat saban tahun. Bila baca laporan media, baru tahu yang kos elektrik sahaja pada tahun 2000 ialah RM22.52 juta tetapi naik mencanak sehingga RM256.3 juta pada tahun lepas, sepuluh kali ganda naik dalam tempoh 20 tahun. Banyak tu!

Nak tahu lagi? IWK dah ambil alih banyak aset pembetungan lama dan yang semakin menua. Tentu lah, semua ini perlukan kos operasi tinggi untuk diselenggara dan ditambahbaik.

Untuk info anda, sehingga hari ini, IWK menyelenggara lebih 7,000 loji rawatan kumbahan dan hampir 1,300,000 tangki septik individu. Bayangkan dengan kenaikan kos untuk menyelenggara dan menguruskan sistem pembetungan negara, , sudah tentu IWK kini berdepan dengan cabaran yang sangat getir.

Sedar Tanggungjawab Anda

Jadi, apa tanggungjawab yang perlu kita sedar dan tahu dalam menjaga alam sekitar? Jangan lah harap IWK saja yang nak jaga alam sekitar, kita semua boleh main peranan penting.

Mudah saja untuk bantu agensi seperti IWK menjalankan tugas mereka dengan cekap. Sebagai pengguna, kita jangan lupa untuk bayar bil pembetungan kita dan bagi yang menggunakan sistem tangki septik, jangan lupa untuk mengosongkan tangki septik anda sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun.

Layari www.iwk.com.my untuk maklumat lanjut mengenai bil pembetungan.

Mulai 9 hingga 23 November 2021, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka tinjauan dalam talian kepada orang ramai untuk menghantar maklum balas mengenai cadangan pelarasan tarif IWK.

Orang ramai digalakkan untuk mengambil bahagian dalam tinjuan ini tetapi berilah maklumbalas yang positif dan bernas, terutamanya dalam mengambil kira kelestarian alam sekitar supaya generasi masa depan kita juga boleh menikmati sumber air yang bersih.

Anda boleh layari LAMAN INI untuk menyertai.

×