Selepas memadam semua kandungan di laman YouTube, Sugu Pavithra kembali berkongsikan resepi masakan untuk para peminat. Dalam pada itu, ramai yang tertanya-tanya punca sebenar yang terjadi antara S. Pavithra dan suaminya, M. Sugu.

Menerusi perkongsian terbaru, Pavithra tampil menjelaskan apa yang berlaku serta membersihkan nama suaminya. Menurut Pavithra kejadian itu berlaku berpunca daripada sikap keluarganya yang mula menagih kesenangan mereka.

BACA: Sugu Pavithra Tak Mahu Lagi Ada Kaitan Dengan YouTube

“Keluarga saya yang tak sokong saya selama ini, selama 7 tahun saya berkahwin dengan Sugu. Tak pernah sokong saya, tak pernah tolong saya.

“Selepas saya dah ada duit dan berjaya macam sekarang ini, mereka muncul dan mula meminjam duit daripada suami saya,” katanya.

Kata Pavithra, mereka turut menimbulkan masalah lain ke atas keluarganya sehingga suaminya mencari mereka di hospital pada hari kejadian. Namun, Pavithra akui Sugu juga bersalah mencetuskan kekacauan di tempat awam.

“Memang salah Sugu kerana minum pada hari tu tetapi dia bukanlah pemabuk,” jelasnya.

Sementara itu, Pavithra meluahkan rasa hairan kerana media sering membuat liputan mengenai mereka sekeluarga sedangkan mereka bukan isu yang penting dalam negara. Katanya, media juga salah satu punca kepada masalah yang terjadi pada keluarganya.

“Media juga salah satu sebab kami kehilangan privasi dalam keluarga kami selama 3 bulan ini.

“Selepas media masuk dalam keluarga kami, memang kami tak ada masa untuk masak dan bagi makan kepada anak-anak dan ianya menjadi sangat sukar buat kami,” katanya.

Diakhir perkongsian video itu, Pavithra memohon maaf serta berjanji akan memuat naik video baru seperti biasa. Tegasnya lagi, YouTube ‘Sugu Pavithra’ adalah milik dia dan suaminya serta  dia tidak boleh menghasilkan video seorang diri.

“Kami juga meminta maaf kerana memadam semua video dan kami juga akan muat naik video-video yang dipadam itu secepat mungkin. Sugu yang rakam video untuk saya. Sugu yang sediakan bahan-bahan untuk masak dan juga jaga anak-anak, dia juga sokong saya.

“Saya harap keluarga kami akan bertambah baik dan siapa pun tak boleh pisahkan keluarga kami. Keluarga kami ialah Sugu, Pavithra dan dua anak kami,” katanya.