fbpx

Ziela Jalil Mohon Maaf Drama Dianggap Maksiat

Ziela Jalil selaku penerbit drama Dia Isteri Luar Biasa memohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang senang dengan adegan dalam drama terbitannya yang dianggap sebagai maksiat dan terpesong daripada ajaran agama Islam.

BACA: Peminat Dakwa Drama ‘Dia Isteri Luar Biasa’ Tidak Bermoral?

“Apabila bercakap tentang hukum hakam Islam, saya tidak mengiakan benda yang salah dan tidak menghalalkan cara. Kalau nak ikutkan, banyak benda yang kita tidak boleh buat dalam drama. Bukan senang… Sebagai contoh, saya seorang ibu seronok melihat kepulangan anak lelakinya”

“Kalau seronok, takkan nak berdiri dan tunjuk mimik rasa gembira sahaja. Mesti kena peluk sebagai tanda sayang dan rindu. Bagaimanapun segala kritikan yang diberi saya terima dengan fikiran terbuka dan akan lebih berhati-hati menghasilkan drama pada masa akan datang,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Ziela Jalil, dia memandang positif setiap komen yang diterima namun menyifatkan drama-drama penerbitannya itu masih lagi ada unsur-unsur teladan yang boleh diambil contoh selain menyatakan golongan penerbit sepertinya tidak patut dipersalahkan sekiranya ada kanak-kanak rosak akhlak.

“Tidak patut rasanya drama ini dipersalahkan jika akhlak anak-anak itu tidak baik. Bukan Dia Isteri Luar Biasa sahaja, tetapi juga drama-drama lain. Saya percaya pembentukan akhlak anak-anak bermula daripada cara didikan ibu bapa itu sendiri,” jelasnya. (rtky/s)