fbpx

Tunggu Kekasih Habis Belajar, Mamat Sepah Mahu Nikah Sebelum Akhir Tahun

Dahulu dirinya pernah dikaitkan dengan kontroversi dan selepas itu dia mula bangkit membawa namanya dan kini selepas setahun nampaknya kehidupan pelawak Mamat Sepah sudah menjadi lebih baik dan dia dilihat seperti membuat keputusan yang betul apabila telah keluar daripada Sepah dan bergerak atas nama sendiri.

“Alhamdulillah selepas saya dihimpit dengan pelbagai kontroversi sedikit demi sedikit ianya mengajar saya daripada erti kehidupan sebenar. Bekerja dengan Ultra FM ia mempunyai masa yang fleksibel. Kini saya lebih menumpukan sepenuhnya karier saya untuk radio sebagai penyampai daripada kerja-kerja yang lain”

”Adakalanya saya juga memenuhi undangan untuk buat persembahan tetapi saya akan melihat jadual kerja saya terlebih dahulu. Buat masa sekarang, untuk berlakon saya kurangkan dahulu kerana apabila berlakon kita kena mengambil cuti dan bukannya pihak Ultra tidak benarkannya tetapi biarlah saya fokus dengan kerjaya penyampai dahulu,” katanya

Mamat Sepah turut memberitahu bahawa dia bakal bertunang tidak lama lagi selepas berkenalan selama 3 tahun bersama dengan kekasihnya, Nur Syafiqah, 24 yang kini merupakan seorang pelajar yang berada di tahun akhir di salah sebuah institusi pengajian tinggi.

Bagi Mamat mengenalinya secara tidak sengaja membuat hatinya terus tertarik dengan sifat dan perwatakan yang ditunjukkan oleh gadis bertuah ini.

“Sudah 3 tahun saya mengenalinya. Apa yang peliknya dia tak mengenali saya sebagai seorang artis dan dia hanyalah kenal saya sebagai Mamat sahaja dan tidak lebih daripada itu. Di saat itu, adalah merupakan saat-saat kejatuhan karier saya”

“Tetapi beberapa orang kawan dia telah memberitahu kepadanya cerita negatif tentang karier saya dan cerita cinta saya sebelum ini bersama dengan Fyda. Apa yang penting dia tak kisah dan dia menerima saya seadanya. Pertemuan bersama saya dan dia telah berlaku di JPO (Johor Premium Outlet). Di antara semua kekasih-kekasih saya sebelum ini, dia adalah yang termuda dan jarak usia kami ialah 5 tahun,” katanya penuh teruja.

Mahu Segerakan Majlis Tunang, Nikah

Bagi mengelakkan daripada berlakunya lagi kisah-kisah kontroversi yang pernah melandanya seketika dahulu, dia ingin mempercepatkan urusan pertunangan dan pernikahannya tetapi perlu menunggu bakal tunangannya itu menghabiskan pengajiaannya September ini.

“Ya, saya bercadang untuk berkahwin selewat-lewatnya hujung tahun ini. Bagaimanapun saya perlu menunggu dia tamat pengajian di salah sebuah universiti swasta menjelang September nanti. Saya akan mengumumkannya kelak dalam satu majlis,” ujarnya.

Mamat juga turut memberitahu bahawa sepanjang perkenalannya dengan kekasihnya itu, dia telah banyak berubah dan telah bangkit daripada kesilapan yang lepas dan kekasihnya ini lebih tegas dan berdisiplin dan secara tak langsung membuatkan dia lebih tekun dalam bekerja.

“Dia ini merupakan satu-satunya kekasih saya yang tegas dan berani untuk menegur apa yang saya buat. Kadang-kala dia menasihati saya apa yang betul dan yang salah. Dalam instagram dia sendiri pun tidak ada banyak gambar yang diambilnya bersama saya seperti kekasih-kekasih yang lain dan dia banyak ubah kehidupan saya,” jelas Mamat lagi. (rtky/hfz)