fbpx

Tomok Nafi Elak Keluar Media, Beri Peluang Muka Baru

Penyanyi Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok menjelaskan yang dia bukanlah tidak mahu untuk mengadakan sesi photoshoot apabila dipanggil oleh wartawan untuk sesuatu akhbar atau majalah tetapi dia lebih selesa untuk melakukannya sekiranya mempunyai produk atau album baru untuk dikongsikan bersama peminat.

Jelasnya, zaman photoshoot ini adalah zaman ketika bersama New Boyz dahulu dan merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan peluang kepada artis yang lain untuk mempromosikan karya mereka pula di dada dada media.

“Tomok dah lalui zaman photoshoot dan sekarang umur Tomok sudah 30 tahun. Bagilah peluang pula kepada anak-anak muda untuk mereka berkarya. Tomok lebih suka untuk buat photoshoot sekiranya mempunyai produk atau album untuk diceritakan dan dikongsi bersama peminat,” katanya semasa majlis pelancaran albumnya yang kedua berjudul Aku Datang.

Tomok juga bakal menyambut kelahiran cahaya mata yang kedua tidak lama lagi. Bagaimanapun tidak ada persiapan yang begitu mewah, dan ianya hanyalah sekadar persiapan biasa seperti menyambut anaknya yang pertama iaitu, Arrianshah Akid.

Melihatkan jadual dan kesibukan Tomok dalam rangka promosi albumnya yang terbaru ini dan juga beberapa kerjayanya yang lain, dia memaklumkan bahawa masih lagi sempat untuk meluangkan masa bersama keluarga yang tercinta.

“Persiapan biasa biasa sahaja. Dari segi masa, rasanya tidak ada masalah isteri sudah tahu mengenai tugas dan kerjaya sebagai artis. Dari dahulu sebelum kahwin pun kami ada berbincang mengenai ini. Cuma apabila saya mahu ke mana-mana saya akan hantar isteri ke rumah mertua atau ke rumah mak saya,” katanya.

Sementara itu, Tomok melancarkan albumnya yang kedua berjudul Aku Datang yang bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin. Albumnya yang mengandungi 7 buah lagu itu dijangka akan mendapat sambutan daripada peminatnya seluruh tanah air.

Selain itu, Tomok dan rakan-rakannya seperti Black Hanifah, RJ, SSK, Radhi OAG dan Shiha akan mengadakan Road Tour Aku Datang di tempat-tempat yang terpillih di seluruh Malaysia termasuklah Sabah Dan Sarawak sekitar November ini. (rtky/hfz)

Gambar Ihsan: Instagram Tomok / Project Two-Pi