fbpx

The Vatican Tapes: Filem Yang Seram Dan Penuh Kejutan

Terangkat! Mungkin itu perkataan yang sesuai bagi penulis membayangkan keterujaan ketika menonton filem seram arahan Mark Neveldine ini. Filem yang ditayangkan sejak 23 Julai yang lalu ini mengangkat kisah mangsa rasukan roh jahat (iblis) yang bukan sekadar meresap ke dalam tubuhnya sahaja. Ia digabungjalin dengan cantik dengan beberapa teori keagamaan yang memberi penyudah cerita yang bukan sekadar mengejutkan malahan membuka minda.

Filem ini berlegar di sekitar perhubungan 3 watak utama iaitu Angela Holmes lakonan Olivia Taylor Dudley , kekasihnya yang tinggal bersama (John Patrick Amedori) dan bapanya (Dougray Scott). Ketika menyambut ulangtahun kelahirannya, Angela telah luka dihiris pisau dan keesokannya terjadi satu kejadian aneh ketika dia dan kekasihnya menaiki bas dan bas itu diserang seekor burung gagak yang menjadi permulaan kisah seram ini.

vatican-tapes-fb2

Sejak itu berlaku perubahan kepada diri Angela yang sering bermimpi yang bukan-bukan, menjadi perengus dan mula bersikap pelik hingga menyebabkan satu kemalangan. Kemalangan itu membuatkan dia berada di dalam koma (dengan alat bantuan hayat), dan kemudian ketika pihak hospital menyarankan hayatnya ditamatkan, dia yang sepatutnya mati telah hidup semula.

Cukup saya katakan filem ini boleh membuatkan anda terpaku tetapi dalam masa yang sama teruja untuk mengetahui kesudahan. Ia digarap kreatif sebagai sebuah naskah filem seram yang berpandukan kepada amalan perubatan Kristian yang sebenarnya tidak jauh beza daripada perspektif orang Islam. Lebih-lebih lagi filem seram baik yang mempunyai pengaruh Kristian mahupun Islam tetap mempunyai patern yang sama, iaitu pertentangan terhadap kuasa syaitan / kuasa-kuasa jahat dari alam ghaib setelah mengambil kira faktor perubatan sedia ada.

vaticantapes

Premis filem ini berkisar kepada teori yang digunapakai oleh masyarakat Kristian, maka dengan itu ia dikategorikan sebagai PG 13 (kandungannya yang bersabit konsep akidah dan sedikit pengaruh sensual memerlukan penjaga bagi remaja 13 tahun ke atas untuk memantau). Pun begitu ia masih aman di tonton sebagai wadah hiburan kerana jalan ceritanya lebih santai dan tidak bernuansa dakwah melainkan ada sedikit usaha untuk memberitahu apa itu iluminati dan isu anti-kristian disebaliknya di mana hal ini boleh diperdebat di luar pawagam sekiranya penonton berminat untuk menggali lebih makna daripada paparan hiburan yang ditampilkan.

Saya memuji filem ini tidak menggunakan pendekatan lazim ala Hollywood apabila pengarahnya memberi exaggeration pada setiap perbuatan/tindak tanduk watak Angela. Dengan skor muzik yang minimal (dan berbaur tradisional), dialog-dialog dalam bahasa Aramaic serta renungan tajam dan perubahan postur badan serta permainan kamera CCTV, ia cukup membuatkan segala rencah bersatu bagi menimbulkan ketakutan yang optimum bagi sebuah filem seram.

maxresdefault (2)

Saya terganggu melihat pendahuluan filem ini memaparkan pita rakaman kes rasukan terdahulu yang disimpan oleh pihak Vatican, tetapi ia tidak dihuraikan hingga ia menjadi klise kerana permainan footages pita-pita lama adalah idea yang sedikit lapuk. Mujur, penamat filem ini memberi impak yang berlainan. Jika tidak ia akan jadi sebuah lagi filem seram hambar.

Lakonan Olivia Taylor Dudley sebenarnya memuaskan kerana dia pandai memainkan peranan dalam perubahan wataknya. Kebanyakan babak-babak rasukan sebelum dia koma memberi warna yang cantik kepada jalan cerita tetapi menuju ke penghujungnya kita dapat melihat bagaimana kekeliruan dan persoalan yang ditimbulkan membuatkan penonton jadi tidak senang duduk dalam memberi simpati atau mencari erti siapa sebenarnya Angela terutama selepas babak ala ‘resurrection’.

the-vatican-tapes-michael-pe-a

Saya bagaimanapun tidak melihat filem ini sebagai sebuah filem ‘exorcism’ yang terlalu hebat sebaliknya ia nampak begitu ‘bercita-cita’. Biarpun pengarahnya bijak memerah idea bagi menampilkan nilai estetik bagi babak rasukan, tetapi tidak dapat tidak saya melihat berlaku pembaziran bakat bagi watak-watak sokongan yang dilakonkan oleh pelakon seperti Micheal Pena dan Djimon Honsou.

Selain itu, jalan cerita filem ini secara halus memberi pembayang bahawa pengaruh iluminati menjadi punca kepada paradigma pergolakan dalam dunia lain (syaitan dan iblis yang meronta ingin keluar dan mengusai dunia). Bagi saya pembikin filem-filem seram pasca ‘The Exorcist’ (1973) sendiri mencari punca yang sesuai bagi menjalin pemahaman isu antichrist dengan teori Dajjal (akhir zaman) yang sesuai ditonton oleh penonton yang lebih mass (pelbagai lapisan) tetapi premis (watak-watak utama) yang digunakan terlalu asas sedangkan ia cuba membawa isu besar seperti anti-christ (yang menurut perspektif islam mungkin sebagai contoh kelahiran Dajjal) hingga halatuju menjadi kecamuk di pertengahan.

Mungkin saya boleh kaitkan filem ini dengan filem ‘Constantine’ (2005) dari segi jalan cerita tetapi tidaklah begitu ketara kerana filem ini mempunyai elemen kejutan yang baik.

KESIMPULAN

VT_D07_0809.NEF

VT_D07_0809.NEF

Yang boleh saya katakan, anda perlu masuk dan keluar dari pawagam dengan fikiran yang terbuka dan tanpa prejudis. Susah untuk saya ulas mengenai filem ini kerana ia melibatkan subjek yang agak menjadi kegemaran saya dalam pembacaan. Ini kerana bagi saya sebuah filem seharusnya memaparkan perspektifnya yang tersendiri dan atas dasar itu kita hormati kerana at the end of the day, film is just a visual of art and form of entertainment.

Saya rasa terhibur dan seronok menontonnya dan merasakan ia masih berbaloi untuk ditonton bagi yang betul-betul mencari filem seram yang bukan sekadar menakut-nakutkan tetapi memberi ruang kepada otak anda untuk berfikir dengan lebih jauh. Saya beri 3.5 BIJI ROTIKAYA!