fbpx

Sufi Diumum Juara AF 2015, Bawa Pulang RM50,000

Bertempat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah tercipta sejarah apabila Akademi Fantasia 2015 telah berjaya melahirkan sebutir bintang lagi dengan kemenangan Mohammad Sufie Rashid atau lebih dikenali sebagai Sufi yang berasal dari Singapura.

Dia telah berjaya mengenepikan empat peserta lain dengan membawakan dua buah lagu yang berjudul Andaiku Bercinta Lagi yang dipopularkan oleh kumpulan Mojo dan lagu keduanya yang diciptanya sendiri berjudul ‘Kisah Dua Muka’.

Persembahan yang cukup memukau penonton di Auditorium MBSA melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000, pakej percutian ke Dubai untuk seorang tajaan HNH Tours Sdn Bhd, beserta trofi sumbangan Astro.

Manakala tempat kedua pula disandang oleh pelajar yang berasal daripada Kuala Lumpur iaitu Syameel Aqmal Mohd Fodzly atau lebih popular dikenali sebagai Syamel.

Dia yang membawakan dua buah lagu berjudul ‘Sampai Mati’ nyanyian asal Hazama dan lagu keduanya berjudul ‘Hidup Dalam Mati’ yang dicipta sepenuhnya oleh Syamel sendiri, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, Pakej percutian ke Dubai untuk seorang tajaan HNH Tours Sdn Bhd, beserta trofi sumbangan Astro.

Sementara itu, pelajar yang bernama Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi 19, berada di tempat ketiga. Bila telah menyanyikan lagu yang berjudul ‘Karma’ nyanyian asal Faizal Tahir dan lagu keduanya berjudul ‘Diam Saja’ yang dicipta khas oleh pengetua mereka Edry Abdul Halim.

Selain itu, dia turut membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM20,000 dan pakej percutian Pakej percutian ke Dubai untuk seorang tajaan HNH Tours Sdn Bhd, beserta trofi sumbangan Astro.

Tempat keempat dimenangi oleh Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19 yang berasal dari Negeri Sembilan. Kemenangannya di tempat keempat melayakkannya untuk membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, berserta pakej percutian ke Dubai tajaan HNH Tours Sdn Bhd, dan trofi sumbangan Astro.

Tahniah dan syabas kami ucapkan dan selamat datang ke industri hiburan tanah air buat pelajar AF2015. (rtky/h)