fbpx

Suami Tidak Halang Anzalna Terus Berlakon

Pelakon jelita Anzalna Nasir, 28 yang baru sahaja bergelar seorang isteri memberitahu bahawa suaminya tidak menghalang dirinya untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan, tetapi ada batas-batas tertentu. Kata suaminya itu lagi, Anzalna sudah dewasa dan tahu akan statusnya kini.

BACA: Anzalna Nasir Sah Bergelar Isteri Kepada Haniff Zaki

“Saya tidak ada masalah dan benarkan dia (Anzalna) untuk berlakon cuma ada batasnya. Dia (Anzalna) pun tahu apa yang patut atau tidak. Saya berharap dia menjadi seorang isteri yang solehah dan sentiasa menghormati suami,” kata Hanif suami kepada Anzalna yang ditemui selepas selesai sahaja Majlis pernikahan mereka pagi kelmarin.

Dalam pada itu, Anzalna juga turut menepis pandangan negatif yang mengatakan apabila seseorang artis itu telah berkahwin populariti mereka akan menurun. Sebaliknya pelakon yang membintangi drama Memori Cinta Suraya itu berkata dia percaya kepada rezeki yang dikurniakan Tuhan.

“Bila berkahwin rezeki lagi masuk, tiada apa yang hendak dirisaukan. Rakan-rakan artis saya pun sudah banyak yang berkahwin. Perkahwinan bukan penghalang, rezeki sentiasa ada,” katanya.

Aktres kelahiran Pulau Pinang ini turut menjadi salah seorang finalis Dewi Remaja 2010/2011 dan kini sedang hangat berlakon dalam telenovela popular Memori Cinta Suraya.

Setelah berkenalan selama 10 tahun, akhirnya Anzalna dan Hanif telah membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan. Selepas ini, mereka juga akan berbulan madu di sebuah pulau tetapi dirahsiakan dan akan mengerjakan umrah tidak lama lagi. (rtky/h)

GAMBAR IHSAN: MANGO TOUCH