fbpx

Sharnaaz Ahmad: Jangan Salahkan Filem Ganas Kes Buli Berleluasa

Baru-baru ini negara kita telah digemparkan dengan beberapa kes buli yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Kes ini masih terjadi walaupun ada pelbagai kempen telah dijalankan oleh kerajaan untuk membanteras gejala buli yang semakin hari semakin hangat diperkatakan.

Pelakon yang tidak asing lagi dalam membawa watak antagonis seperti gangster dan kongsi gelap, Sharnaaz Ahmad telah terpanggil untuk memberikan pandangannya berhubung isu ini yang dikatakan filem adalah satu punca mengapa kes buli terjadi di kalangan pelajar.

“Sebenarnya kes-kes buli ini sudah ada di zaman datuk nenek kita lagi. Tapi apa yang kita nampak sekarang ini, kemudahan teknologi yang mudah membolehkan generasi ini mengaksesnya dengan mudah. Jadi kita boleh nampak. Kalau dulu bergaduh di mana pun tidak nampak, sekarang tengah bergaduh ada orang yang merakam video, dan benda itu jadi isu”

BACA: Wardina Safiyyah Kini Salahkan Pembikin Filem Gangster Kes Buli Menjadi Jadi

“Isu buli daripada dulu lagi, mana-mana negara mesti ada isu buli. Tetapi ia berbalik kepada setiap negara bagaimana mahu menangani perkara itu,” katanya yang ditemui semasa tayangan perdana filem Gila Baby yang akan ke pawagam pada 4 Disember ini.

Dia yang sedikit terkilan apabila segelintir masyarakat menyalahkan filem menyarankan agar pihak kerajaan menapis setiap filem dan sekiranya perlu untuk mewujudkan pula klasifikasi untuk remaja yang berumur 21 tahun ke atas perlulah disegerakan dan filem tersebut pula perlulah mempunyai kualiti setaraf filem antarabangsa.

“Jangan salahkan filem, kerana filem-filem luar negara pun lagi bermacam-macam aksi buli juga ganas yang ditonjolkan. Cara mereka tonjolkan seni dalam filem. Kita ada akta atau klasifikasi filem untuk 18SG dan sebagainya. Kalau susah sangat naikkan kepada had umur 21”

“Tapi buatlah betul-betul 21 dan hanya 21 ke atas yang boleh tengok. Buatlah password untuk mengakses kepada filem yang telah diklasifikasikan itu, atau mengawal selia dan itu adalah antara inisiatif yang boleh dibuat,” tambahnya lagi. (rtky/hfz)