fbpx

Rozana Fail Permohonan Batalkan Hak Penjagaan Anak Sementara Awie

Isteri penyanyi dan pelakon, Awie memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hak penjagaan sementara (hadanah) ke atas tiga anak mereka yang diperoleh artis itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syarie pada 21 Julai lalu.

Rozana Misbun turut memohon membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) oleh Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, pada 16 Julai lalu untuk menghalang Rozana daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

BACA: Awie Akui Bahagia Dengan Anak Anak Tanpa Rozana, Mahu Jadi Bapa Terbaik

Sebutan pertama permohonan tersebut telah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah pada Khamis (hari ini). Bagaimanapun Awie yang diwakili oleh peguamnya, Mohd Hafizol Pacho telah memohon bantahan awal terhadap permohonan isterinya itu.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 September 2014 untuk mendengar penghujahan dan tarikh 18 September 2014 untuk keputusan permohonan bantahan tersebut.

Pada prosiding yang sama, Rozana menerusi peguamnya, Majdah Muda telah memohon secara lisan pindaan hak lawatan anak-anak yang diperolehi pada minggu pertama dan minggu ketiga selama dua jam pada setiap bulan di kediaman Awie yang terletak di Ukay Bestari ditukar ke kediaman ibu bapa anak guamnya yang terletak di Pantai Hill Park.

Ia berikutan Mahkamah Majistret sebelum ini telah mengeluarkan perintah pelindungan iaitu Rozana tidak dibenarkan berada dekat dengan Awie. Mahkamah juga dimaklumkan Rozana sehingga hari ini tidak dibenarkan berjumpa anak-anaknya.

Minta Media, Orang Ramai Tidak Buat Laporan Prejudis

Selain itu, peguam Rozana juga memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah tegahan agar anak guamnya tidak diprejudiskan oleh media samada akhbar atau mana-mana media sosial. Bagaimanapun mahkamah menolak kedua-dua pemohonan tersebut kerana ia perlu dibuat mengikut prosedur.

“Segala permohonan hendaklah dibuat secara teratur dan bukannya secara lisan. Selain itu mahkamah tidak menghalang media massa membuat laporan selagi ianya tidak memprejudiskan kes dan subjudis terhadap kes,” kata Amran.

Terdahulu Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Awie dan Rozana bernikah di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan itu merkeka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Menerusi perkahwinan terdahulu Awie bersama penyanyi Arni Nazira, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, yang kini tinggal bersama Awie. (rtky/fr)