fbpx

Rossa Hargai Media Malaysia, Cerita Semula Krisis Rumah Tangga 2009

Penyanyi dari seberang, Rossa yang ditemui ketika majlis pelancaran albumnya yang ke-6 berjudul Love, Life & Music telah berkongsi sedikit kedukaan yang telah dialaminya 6 tahun lepas semasa showcasenya yang telah berlangsung di KL Life pada tahun 2009. Baginya kini sudah tiba untuk berkongsi bersama peminat selepas apa yang telah menimpanya 6 tahun lepas.

“Sebenarnya ketika itu saya sangat bersedih apabila surat tuntutan cerai yang dihantar oleh saya ke pejabat agama di Indonesia telah pun sampai ke pejabat di sana dan ketika itu rakan di sana telah menghubungi saya untuk memberitahu tentang perkara tersebut dan dalam masa yang sama saya akan membuat persembahan ketika itu”

”Tetapi mujurlah saya di Malaysia, kalau tak saya pasti akan dikejar oleh media-media di sana yang mencari saya sehingga saya terpaksa bertukar-tukar kereta menyembunyikan diri di bonet kereta ketika saya sampai di Jakarta,” ujarnya ketika menceritakan kejadian tersebut.

Rossa turut memberitahu bahawa dia sungguh menghargai media Malaysia ketika itu, kerana tidak ada salah seorang pun yang bertanyakan soalan berkaitan isu penceraian itu kepadanya ketika showcase yang berlangsung pada tahun 2009.

“Saya berterima kasih kepada media-media Malaysia ketika itu kerana tidak ada salah seorang pun daripada anda bertanyakan soalan itu kepada saya dan saya amat menghargai anda semua. Anda juga banyak membantu dari segi kerjaya dan promosi untuk saya terus kekal berada bersama peminat-peminat di Malaysia,” katanya sambil tersenyum.

Album Baru Cerita Kehidupan Mencari Rezeki Sebagai Penyanyi

Sementara itu, album berjudul Love, Life & Music adalah satu judul yang dipilih berdasarkan cerita mengenai kehidupannya mencari rezeki selama 10 tahun dan bernaung di bawah Suria Records yang banyak memberikan sokongan untuknya dari mula dia bertapak di Malaysia sehinggalah kini.

“Album ini merupakan cerita tentang kehidupan. Cerita tentang peribadi saya sebagai penyanyi dan sudah tentu mengenai muzik,” katanya ringkas.

Seiring dengan usianya kini yang telah pun menginjak 35 tahun, Rossa berkata untuk albumnya ini telah diberikan nafas baru dan liriknya yang juga lebih matang.

“Saya inginkan kematangan dari segi lirik, jadi album ini juga menjadi refleksi dari pertambahan usia saya. Misalnya sebuah lagu itu boleh dijual tetapi tidak mesra pendengar saya tidak akan meneruskannya. Kualiti dan komersial itu keutamaan saya,” tambahnya lagi. (rtky/hfz)