fbpx

Review Filem Minggu Ini — Night At The Museum: Secret of the Tomb

Berjaya dengan pembikinan dua filem sebelum ini, Ben Stiller nampaknya sekali lagi membawa kita meneroka Natural History Museum yang memang sudah biasa untuk para peminat filem ini. Filem ketiga (dan terakhir?) ini juga merupakan penampilan terakhir mendiang Robin Williams.

Oleh itu, Night at the Museum: Secret of the Tomb mempunyai nilai sentimental tersendiri untuk semua peminat Robin Williams dan salah satu sebab utama untuk pergi menonton.

Dalam filem asal yang dikeluarkan pada tahun 2006, watak utama penjaga muzium Larry (lakonan Ben Stiller) mendapat tahu yang sebuah tablet kuno Mesir memiliki kuasa tersendiri untuk ‘menghidupkan’ patung lilin di dalam muzium tersebut.

Filem terbaru ini dibuka dengan Larry bersedia untuk menunjukkan keajaibab tablet kuno itu buat penderma VIP muzium tersebut — namun ada sesuatu yang tidak kena.

Ianya menyebabkan patung lilin Teddy Roosevelt (lakonan Robin Williams), pasangan cowboy Jed (Owen Wilson), pemerintah Rom Octavius (Steve Coogan), Sacajawea (Mizuo Peck), Prince Ahkmenrah (Rami Malek), Attila the Hun (Patrick Gallagher) dan lain lain beraksi pelik.

Kuasa tablet kuno Mesir itu semakin menyusut dan hanya bapa kepada Prince Ahkmenrah yang kini berada di British Museum tahu bagaimana untuk perbetulkan keadaan.

Dan, bermulalah kisah kesemua mereka mencari jalan untuk kembalikan kuasa tablet kuno Mesir itu supaya patung lilin yang sebelum ini mampu bernyawa boleh terus ‘bernafas’ setiap malam seperti sebelum ini — mudah sahaja jalan cerita mereka.

Kami sukakan kemunculan ramai pelawak dan nama besar seperti Ricky Gervais, Rebel Wilson, Ben Kingsley, Dick van Dyke dan ramai lagi yang menyerikan lagi jalan cerita filem ini. Nampak ia satu filem yang meriah dan tidak membosankan.

Filem ini mengandungi kesan khas CGI tersendiri yang berkesan selain babak babak kelakar yang kami kira cukup sempurna untuk menangkap perhatian kanak kanak yang menonton. Cukup menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga.

Jika benar ini filem terakhir untuk siri filem ini, pastinya kelibat kesemua watak patung lilin & teletah mereka akan dirindui para peminat setia mereka. Jangan ketinggalan untuk menonton Night at the Museum: Secret of the Tomb ini dipawagam berdekatan anda.

Night at the Museum: Secret of the Tomb di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 Disember.