fbpx

Rahsia Hubungan: Syatilla Melvin Hormati Shaheizy Sam

Membina perhubungan cinta bersama pelakon popular Shaheizy Sam bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelakon Syatilla Melvin atau lebih mesra dipanggil Tilla memberitahu dia terpaksa merahsiakan perhubungan mereka kerana menghormati privasi Shaheizy Sam yang sememangnya tidak suka untuk bercerita mengenai kisah peribadi.

“Memandangkan saya bercinta dengan Sam, saya kena hadkan perhubungan saya dan dia dengan dunia luar memandangkan dia mempunyai ramai peminat. Saya cukup menghormati kerjaya serta privasinya,” katanya selepas selesai sidang media petang kelmarin.

BACA: Perkahwinan Shaheizy Sam, Syatilla Melvin Terima Tajaan RM25 Juta

Tambahnya lagi, bukan tujuannya untuk menyembunyikan kenyataan sebenar tetapi hubungan mereka sendiri yang tidak pasti ke mana hala tujunya membuatkan Syatilla mengambil keputusan untuk berdiam diri serta menafikannya.

“Sebenarnya bukan niat nak sorok tetapi saya sendiri tak tahu sampai mana hubungan ini, benda yang tak boleh kita sahkan. Jadi saya terpaksa menafikan hubungan dengan Sam dan begitu juga dengan Sam sendiri. Pada hari ini saya tunaikan janji memberitahu akan bernikah dan Alhamdulillah saya lega,” katanya.

Menariknya hubungan yang telah terjalin selama 6 tahun ini, dianggap seperti biasa-biasa sahaja malah pasangan ini juga tidak menjangkakan hubungan ini akan kekal hingga berkahwin.

Sepanjang perkenalan mereka berdua juga, Syatilla menceritakan bahawa mereka tidak pernah keluar ‘berdating’ seperti pasangan-pasangan kekasih yang lain, mereka hanya keluar melepak di kedai mamak.

“Ada juga keluar dengannya tetapi tidak kerap. Saya tak pernah rasa keluar dating, kalau keluar pun lepak di kedai mamak. Kalau kata nak pergi tengok wayang atau keluar membeli-belah seperti pasangan lain memang tak pernah,” ujarnya.

Pasangan ini akan mengadakan malam berinai di Pulau Pinang pada 7 Februari, manakala akad nikah akan dijalankan pada keesokan harinya iaitu pada 8 Februari dan majlis resepsi sebelah keluarga Syatilla di Bukit Jawi Golf Club pada 9 Februari depan. (rtky/h)