fbpx

Pendapatan Caliph Buskers Cecah RM600,000 Tahun Lalu

Jika sebelum ini timbul khabar angin yang mengatakan bahawa bayaran yang diterima Caliph Buskers ketika membuat persembahan adalah sedikit malah pihak KRU turut terkena tempias yang sama.

BACA: Caliph Buskers Komen Kisah Dibayar Murah KRU

Melalui Kosmo! Online, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Rizal Sahimy menjelaskan bahawa Caliph Buskers memang bergerak secara sendirian dan bukan diuruskan sepenuhnya oleh KRU Music kerana kontrak yang terjalin antara mereka hanyalah secara eksklusif bagi rakaman muzik sahaja.

“Terdapat juga pelanggan yang menghubungi KRU Music untuk mendapatkan perkhidmatan Caliph Buskers. Jika berlaku sedemikian, KRU Music akan bertanya kepada mereka terlebih dulu tentang harga yang ditawarkan dan sebarang harga yang KRU Music bayar kepada Caliph Buskers adalah atas persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya.

Justeru sepanjang menguruskan Caliph Buskers, menurut Rizal, bayaran persembahan yang diterima bagi setiap acara berbeza-beza mengikut persetujuan yang sudah diputuskan.

Katanya, memandangkan mereka merupakan artis berkumpulan, jadi setiap individu akan dibahagi sama rata selepas ditolak caj pengurusan yang sudah termaktub.

“Harga minimum adalah sekitar RM3,000 hingga RM10,000 (mengikut jumlah lagu). Kebanyakan persembahan Caliph Buskers adalah sekitar RM6,000 bagi setiap persembahan. Bayaran sebanyak RM800 setiap seorang itu adalah separuh benar (half truth) apabila mereka mendapat bayaran sebanyak RM6,000 untuk membuat persembahan”

“Selepas tolak kos pengurusan, wang bagi Caliph Buskers dibahagi kepada lima dan setiap seorang akan menerima RM840,” katanya yang menafikan dakwaan pihaknya membayar rendah kepada band berkenaan. Pendapatan Caliph Buskers mencecah RM600,000 sepanjang tahun lalu,” jelasnya.

Tambah Rizal, dalam jumlah tersebut terdapat persembahan yang turut diuruskan oleh pihak Caliph Buskers sendiri. Pastinya dengan penjelasan sebegini dapat kembali memberi gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku yang mungkin tidak diketahui oleh pihak di luar sana. (rtky/s)