fbpx

Paul Blart: Mall Cop 2 [REVIEW]

PAUL BLART: MALL COP 2 (2015) ialah filem sekuel sambungan Paul Blart: Mall Cop (2009). Ramai pengkritik filem di negara barat tidak menyukai kedua-dua filem tersebut. Namun begitu, bagi saya ia tidaklah seteruk mana pun, malahan ia masih melucukan dan saya OK berikan 3 BIJI ROTIKAYA. Oh! Mungkin saya terlalu awal untuk memberikan berapa biji rotikaya sebelum mengulasnya lebih lanjut? Teruskan membaca kerana mungkin saya akan mengubah fikiran?

Ringkasannya begini – selepas 6 tahun Paul Blart (Kevin James) beraksi sebagai hero ala filem Die Hard dalam filem pertama dahulu, Paul dijemput ke Las Vegas untuk menghadiri Konvensyen Pengawal Keselamatan. Dia mengambil kesempatan itu sebagai peluang percutian bersama anak gadisnya, Maya (Raini Rodriguez).

Bagi penonton yang pernah menonton filem pertamanya dahulu pasti akan tertanya-tanya ke mana perginya isteri Paul iaitu Amy dan di manakah juga ibu Paul? Untuk mendapatkan jawapan, anda kena saksikan sendiri filem ini di pawagam berdekatan rumah anda, sekarang!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

PBMC5

Paul Blart: Mall Cop 2 kali ini tidak beraksi di pasaraya atau mall, tetapi sebuah hotel. Ok, memang ada sedikit babak dalam mall, tetapi ya! tajuk filem ini agak mengelirukan sebab memang sebahagian besar aksinya di dalam dan di luar sebuah hotel sahaja iaitu Wynn Hotel, Las Vegas. Mungkin juga judulnya wajar ditukar kepada Paul Blart: Hotel Cop, tetapi saya faham ia masih merujuk kepada kerjaya Paul sebagai Pengawal Keselamatan Mall atau Polis Pasaraya yang beraksi di dalam sebuah hotel. Jadi tidak salah menggunakan judul Paul Blart: Mall Cop 2.

Peringatan kepada penonton yang mahu menonton filem ini, untuk tidak sekali-kali menonton dahulu trailer-nya kerana ia mengandungi hampir kesemua spoiler kelucuan di dalam filemnya sendiri. Saya tidak menonton trailer-nya, maka saya ketawa juga di babak-babak ada punchline yang dipaparkan di sepanjang penceritaannya.

Sebenarnya agak sukar untuk mengulas dengan panjang-lebar mengenai filem ini kerana isi jalan ceritanya pendek sahaja untuk diperkatakan. Ia sebuah filem ringan yang sangat ringan. Lokasinya terhad. Ceritanya juga klise dan begitu-begitu sahaja. Seperti filem pertama dahulu, filem ini mengikuti susunan formula konflik yang hampir sama, namun agak sedikit besar. Itu pun kerana penjahatnya kali ini nampak lebih profesional dan misi heist hendak mencuri barang di dalam hotel ini lebih besar berbanding filem terdahulu.

PBMC6

Kali ini, Paul dibantu oleh sepasukan Pengawal Keselamatan dari berbagai negeri yang berkumpul di hotel itu. Gabungan para pelakon veteran komedi dan aktor teater serta selebriti internet, merencahkan lagi filem ini untuk melihat kombinasi aksi dan jenaka. Mereka seumpama kumpulan anggota tua dari filem The Expendables, tetapi dalam versi Pengawal Keselamatan yang kelakar.

Dari sudut pengembangan perwatakan, filem ini memberikan ruang untuk sub-plot Paul Blart yang berdepan dengan konflik kekeluargaan dengan anaknya Maya yang hendak menyambung pengajian dan pastinya akan meninggalkan Paul keseorangan. Hubungan bapa dan anak gadisnya yang semakin dewasa disentuh sedikit bagaimana Paul begitu bersikap overprotective terhadap remaja lelaki, Lane (David Henrie) yang baru berkenalan dengan Maya.

PBMC7

Kalau dicongak durasi perjalanan cerita filem ini memang terlalu singkat dan ringkas, ia hanya berlaku dalam sehari dan semalaman sahaja serta cuma berkisar di ruang hotel. Sekali lagi Paul Blart menjadi ‘hero tidak sengaja’ untuk menyelamatkan anaknya, sekaligus menggagalkan misi rompakan barang-barang berharga dari hotel itu. Dek kerana kesingkatan modal idea cerita, maka filem ini menyumbatkan beberapa babak yang kelihatan janggal lari dari tunjang konflik utamanya, sekadar hendak memanjangkan cerita. Misalnya babak Paul bertumbuk dengan seekor angsa! Tetapi ya! ia babak yang lucu!

Seperti watak Popeye yang perlukan bayam untuk kembali bertenaga, Paul Blart juga ada sumber kekuatannya tersendiri. Paul yang mengidap penyakit ‘hypoglycemia’ sentiasa perlukan gula untuk menjadi kuat. Maka, babak sinonim Paul menagih gula itu ialah pengulangan babak yang wajib seperti filem yang pertama. Satu lagi elemen wajib filem ini ialah kenderaan beroda yang digunakan oleh Paul setelah semakin popular sejak diperkenalkan dalam filem pertama.

PBMC8

Sebagai tunjang utama, Kevin James yang menggalas watak Paul Blart memang tidak sekacak dan tidak berbadan se-sado aktor-aktor Hollywood lain yang menjadi gula-gula mata para penonton. Namun begitu, beliau ada pengikut dan peminatnya tersendiri semenjak popular dalam siri tv The King of Queens (1998-2007) sebagai watak suami dan menantu yang penyayang. Pesona lakonan Kevin James yang ‘likeable’ sudah memadai untuk menjadi tarikan utama pemasaran kepada penggemarnya yang sedia ada.

KESIMPULAN

Menonton filem komedi ringan sebegini, anda perlu melepaskan keperluan untuk memahami plot yang rumit kerana ia sangat mudah untuk dihadam, dan dilupakan selepas habis ditonton. Kekuatan pasaran filem-filem berwatak lurus dan naif tetapi berhati mulia dan jujur seperti Paul Blart tidak begitu menghiraukan apa yang akan diperkatakan oleh pengkritik filem.

PBMC9

Kalau di negara kita ia dikategorikan seperti ‘filem sampah’ yang merepek tetapi pasti laku di panggung wayang. Target-nya ialah keuntungan maksima dari nilai hiburan jenaka yang bersahaja dan kadangkala agak kurang bijak, tetapi akan dibikin bersekuel lagi dan lagi di masa akan datang.

Paul Blart: Mall Cop 2 memang merepek dan tak ada banyak benda pun sangat yang hendak diceritakan. Tetapi serius, ia sangat menghiburkan dan lucu! Saya sukakannya dan OK untuk mengubah pendirian saya dari 3 BIJI ROTIKAYA kepada 4 BIJI ROTIKAYA.