fbpx

Nelydia Senrose Tunjuk Bukti Resit Bayaran LHDN

Tidak senang dengan berita waran tangkap yang dikeluarkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam, Nelydia Senrose menerusi akaun Instagram telah berkongsi gambar resit pembayaran cukai LHDN yang bertarikh 4 April 2017 untuk tahun taksiran 2013 sejurus selepas berita itu tersebar di laman sosial sebagai bukti cukai tersebut telah dijelaskan.

BACA: Mahkamah Keluar Waran Tangkap Nelydia Senrose

Nelydia yang kini berada di kota London hanya memuat naik gambar resit terbabit sebagai bukti pembayaran yang dilakukannya. Kalau dilihat di ruangan komen, ramai juga yang bengang dengan sistem LHDN yang seolah tidak mengemaskini maklumat pembayar. Namun ada juga yang mempertikaikan ketidakhadiran pelakon terbabit ke mahkamah.

Bagaimanapun, dalam posting yang sama tidak kelihatan pula pembayaran pada tahun taksiran 2009, 2010, 2011 dan 2012 seperti yang didakwa oleh LHDN. Semalam, Nelydia dikenakan waran tangkap akibat tidak menghadirkan diri ke mahkamah selepas menghadapi lima tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) bagi tempoh lima tahun.

Setakat ini Nelydia masih tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara ini sebagaimana beliau juga tidak berada di Malaysia. Apapun diharap perkara ini boleh diselesaikan dengan cara yang baik jika betul Nelydia sendiri sudah menyelesaikan semua cukai yang tertunggak. (rtky/w)