fbpx

Nabil Ahmad Mohon Maaf Kerana Gurau Melampau

Walaupun Elly Mazlein menyatakan dirinya tidak ambil hati dijadikan bahan gurauan, Nabil Ahmad bagaimanapun tetap memohon maaf kepada semua orang yang tersinggung dengan gurauan kasar di konsert Gegar Vaganza tempoh hari. Permohonan maaf itu akan dilakukan secara terbuka pada konsert akan datang agar dapat meredakan kemarahan peminat Elly.

BACA: Elly Mazlein Tidak Kisah Jadi Bahan Gurau Nabil

“Kalau mereka rasa tidak senang dan marah dengan lawak saya itu, saya akan buat permohonan maaf secara terbuka pada malam konsert akan datang supaya ia dapat meredakan marah mereka. Saya dan Elly Mazlein tiada apa-apa masalah kerana lawak itu sudah dibuat ketika latihan lagi. Cuma penonton dan peminat sahaja yang tidak boleh terima”

“Pada saya lawak kasar saya tidak mengecilkan hati peserta pun kerana peserta rancangan ini semuanya artis yang sudah lama dalam industri hiburan. Mereka sudah biasa dengan gosip, jadi apalah sangat dengan lawak saya itu. Rancangan ini hanya lebih kepada drama dan bukan pertandingan nyanyian biasa,” katanya kepada m Star Online.

Sudah lama berada dalam dunia pengacaraan, Nabil menyedari ramai mata yang memerhati salah silapnya namun beliau tidak kisah jika dikritik selagi rancangan tersebut mendapat sokongan peminat. Dalam masa yang sama permohonan maaf secara terbuka juga dilakukan atas dasar ingin menjaga hati peminat fanatik Elly yang berang dengan gurauannya.

Terdahulu, Nabil dikecam hebat apabila usikkannya terhadap Elly yang mendendangkan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan pada malam Ahad lalu dianggap keterlaluan berikutan pergolakan rumah tangga menimpa penyanyi itu baru-baru ini. Bagaimanapun, Elly tampil menjelaskan hubungannya dengan Nabil masih baik dan menganggap ianya sebagai gurauan. (rkty/w)