fbpx

Nampaknya Ramadan yang lalu memberikan kesan yang sungguh hebat sekali buat artis-artis tempatan tanah air, lebih-lebih lagi artis wanita yang kini semakin ramai tampil dengan berhijab dan yang terbaru ialah pelakon Sheera Iskandar yang ditemui ketika majlis rumah terbuka anjuran majalah media hiburan di Dewan N‘Dah Shah Alam kelmarin.

Dia yang kelihatan cukup manis dan sopan itu menjelaskan bahawa sepanjang bulan Ramadan yang lepas dia sudah mula mengenakan hijab dan perkara tersebut sebenarnya tidak disedari oleh kedua-dua ibu dan bapanya.

“Saya tak pernah merancang atau mendapat mimpi seperti mana orang lain yang mengalaminya. Saya memakai hijab pada mulanya ketika bulan ramadan yang lepas apabila merasakan pelik apabila keluar berjalan semuanya memakai hijab tetapi saya sebaliknya, dan disitulah timbulnya untuk saya mengenakan hijab. Sampaikan keluarga saya sendiri pun tidak mengetahui yang saya telah pun berhijab ketika itu,“ katanya ramah.

Dia turut menafikan bahawa dia berhijab kerana mahu kahwin. Baginya perkara itu tidak pernah terlintas dalam pemikirannya kini kerana dia masih tidak mempunyai teman lelaki dan apa yang dibuatnya ini adalah kerana tuntutan agama.

“Tidak sama sekali kerana saya masih belum mempunyai teman lelaki. Terpulang pada semua untuk menilainya. Setakat ini syukur alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan Allah S.W.T telah permudahkan segala urusan saya,“ tambahnya lagi.

Mengenai hal perkahwinannya, dia tidak mahu terlalu berfikir mengenainya & mahukan jodoh itu datang dengan sendiri apabila sudah tiba masanya. Keluarganya turut memahami naluri wanitanya dan tidak pernah memaksa dirinya untuk berkahwin.

“Urusan perkahwinan saya serah pada Allah dan tidak perlulah untuk saya kejar, apabila sampai waktunya kahwin lah saya. Keluarga saya sendiri pun tidak pernah memaksa untuk saya berkahwin. Hati memang terbuka untuk berkahwin tetapi sekiranya kita mengatakan bahawa kita sudah bersedia sebenarnya kita masih belum bersedia ke arah itu,“ ujarnya pula.

Sementara itu, Sheera turut memberitahu bahawa dia akan menyanyi pada bulan merdeka ini dengan lagu kemerdekaan yang dicipta buat pertama kali untuknya berjudul Cintaku Malaysia yang akan didendangkan ketika hari kemerdekaan hujung bulan ini. (rtky/hfz)