fbpx

Mak Jah Hidap Penyakit Barah Rahim

Pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah, kini terpaksa mengurangkan aktiviti seninya selepas disahkan mengidap penyakit barah rahim setelah membuat pemeriksaan di hospital pada Jun tahun lalu.

“Mula-mula, saya demam dan sakit-sakit sendi. Sebelum ini, saya ada kencing manis dan darah tinggi. Apabila menjalankan pemeriksaan, doktor mengesahkan saya mengidap barah rahim tahap pertama. Ketika dapat tahu mengenai penyakit itu, saya mula tidak tentu arah, terkejut dan buntu”

“Namun, doktor memainkan peranan dengan memberi khidmat nasihat agar saya tidak tertekan. Mula dari saat itu, saya bergantung dengan ubat-ubatan sehingga kini. Alhamdulillah, dua tapak barah yang dikesan doktor sudah hilang dan tinggal satu lagi yang masih ada,” katanya.

Tambah Mak Jah, sepanjang enam bulan pertama, dia terpaksa menolak tawaran lakonan kerana memikirkan mengenai penyakit yang dideritainya itu. Tambahan pula, Mak Jah perlu ulang alik ke hospital dua kali seminggu untuk rawatan susulan.

“Jadi, saya perlu memilih antara duit ataupun sihat dan saya pilih untuk sihat. Namun, saya perlukan duit untuk beli ubat. Selain doktor, saya juga turut mendapatkan nasihat daripada ustaz di masjid. Mereka memberikan kata-kata semangat untuk saya bangkit”

“Dulu, saya sering berperang dengan perasaan, masa saya tidak lama lagi. Apa yang perlu saya buat? Akhirnya saya dapat kekuatan itu,” katanya yang mula kembali berlakon sejak beberapa bulan lalu. (rtky/s)