fbpx

Mahkamah Putus Pernikahan Jue Aziz Sah, Ikut Syarak

Sekitar Mei 2014 yang lalu, Jue Aziz tampil membuat pengakuan yang beliau sudah pun mengikat tali perkahwinan dengan seorang pemuzik Indonesia 9 Mac lalu di Sulawesi, Indonesia.

BACA: Jue Aziz Kahwin Senyap Dengan Pemuzik Di Indonesia?

Selepas pendedahan yang beliau sudah berumahtangga secara senyap senyap, ada pula yang mengatakan pernikahan beliau di Indonesia itu sebagai tidak mengikut syarak namun laporan terbaru Sinar Harian mengesahkan sebaliknya.

Laporan menyebut yang Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini telah memutuskan pernikahan aktres jelita, Jue Aziz dengan pemuzik Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmal Danial adalah sah dan mengikut syarak.

“Alhamdulillah selepas urusan pernikahan saya dengan suami selesai di mahkamah, diharap selepas ini tidak lagi dijadikan isu seperti mana sebelum ini. Insya-Allah kami bercadang untuk mengadakan majlis resepsi bagi memperkenalkan suami kepada keluarga dan kenalan rapat pada tahun hadapan,” ujarnya seperti dilaporkan mStar Online hari ini.

Dalam pada itu, Jue turut berkata yang beliau seboleh-bolehnya mahu mempercepatkan tarikh bagi mengadakan majlis berkenaan namun kesibukan mereka terhadap kerjaya seni masing-masing membuatkan perancangan itu terpaksa ditunda pada tahun hadapan.

Jelas Jue, beliau juga mahu mengadakan acara itu bagi memenuhi impian ibu dan bapanya yang ingin melihatnya bersanding di kampung halaman ibunya di Nilai, Negeri Sembilan. (rtky/m)