fbpx

Meskipun agak lama tidak muncul baik menerusi lakon layar mahupun drama-drama di kaca TV, namun beberapa bulan lalu nama anak kepada seniwati Uji Rashid ini hangat diperkata ramai ekoran beliau di dakwa berparti liar di Pulau Perhentian.

“Di pulau tu, sepanjang-panjang pantai ada bar. Siang kerja kami sebagai jurulatih selam & bila malam pula kami kerja di bar tersebut — kutip tin”

“Jadi dalam pada saya tengah kutip tin tu, ada peminat nak bergambar dengan saya. Saya pun penuhi lah permintaan mereka. Alih alih gambar tu tersebar & keluar cerita sebegitu. Saya reda sahajalah,” jelas Cico Harahap ketika ditemui sewaktu di lokasi penggambaran drama Jiwa, di Stadium Titiwangsa, semalam.

Tambah pemilik nama sebenar Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin biarpun timbul cerita negatif mengenai dirinya, sikit pun tidak memberikannya tekanan. Sebaliknya beliau bersykuur kerana masih menerima tawaran berlakon dan menyara keluarga.

“Saya tak tertekan, tak sedih ataupun marah bila timbul cerita sebegini sebab satu masa dulu Uji Rashid punya cabaran lagi berpuluh kali ganda. Tapi dia masih tetap terus bertahan sebagai Uji Rashid sampai hari ini. Saya masih lagi boleh menyara keluarga saya, itu sudah cukup”, ujarnya.

Berkongsi mengenai kehidupan sekarang, kata Cico selama ketiadaannya beberapa bulan ini kerana tumpuannya pada kerjaya sebagai jurulatih selam di Pulau Perhentian. Hinggalah beliau ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Jiwa, arahan Khabir Bhatia.

“Selama ni saya di pulau. Saja nak cuba kerjaya lain. Lagipun pelakon baru sekarang ini sudah ramai. Sekarang ini pula tengah musim tengkujuh, jadi kebetulan ada tawaran berlakon drama ini dan saya terima”

“Sebelum ni saya ada berlakon satu filem arahan Khabir. Kemudian saya ditawarkan pula berlakon untuk drama ni. Saya suka karakter ini sebab ia satu karakter yang colourful. Saya jadi sahabat baik kepada Iskandar iaitu lakonan Remy Ishak”, katanya sekaligus menyifatkan lakonannya terbarunya itu sebagai kemunculan semulanya.

Pada masa sama Cico juga mengesahkan statusnya sebagai duda sejak tiga tahun lalu. Hero filem Puteri Impian ini pernah berkahwin dengan Nur Fuziana, sekitar 2008. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Rindu Nur Fitrah, 3.

“Ya, saya sudah bercerai, sejak tiga tahun lalu. Saya ada berkawan dengan seseorang tapi kalau nak kata sudah ada pengganti tu, belum lagi. Sekarang ni saya dan ibu saya yang jaga anak saya”, kata Cico Harahap lagi. (rtky/fr)