fbpx

“Kan Dah Kata Ini Bukan Anugerah Ayda Jebat”

Kalau masih ingat pada Anugerah MeleTOP Era (AME) tahun lalu, Ayda Jebat telah membolot lima anugerah termasuk kategori utama, sehingga ada pihak menggelarkan anugerah tersebut sebagai Anugerah Ayda Jebat. Namun dengan memenangi hanya satu trofi pada tahun ini, Ayda berkata, ianya membuktikan anugerah tersebut bukanlah seperti yang didakwa.

BACA: Radin Ulas Hubungan Ayda Jebat & Redza Rosli

“Sejak dahulu lagi jika nama saya dicalonkan dalam mana-mana anugerah saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk menang. Tahun ini dapat satu pun saya sudah bersyukur dan gembira kerana ini adalah hasil usaha peminat yang mengundi dan menyokong karier saya. Yang paling penting tiada orang akan kata ini adalah anugerah Ayda Jebat”

“Peminat saya masih mengundi cuma rezeki tidak berpihak kepada saya namun tidak mengapa kerana semua yang menang mereka berhak dapat. Saya pun memang tidak memberi fokus kepada kemenangan sebaliknya tanggungjawab untuk mengadakan persembahan yang menjadi keutamaan saya,” katanya kepada m Star Online mengenai perkara terbabit.

Pada malam AME 2017, Ayda telah tercalon dalam tiga kategori, namun hanya memenangi satu kategori sahaja, iaitu kategori Lagu MeleTOP menerusi Pencuri Hati. Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Ayda membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 berserta dengan trofi.

Bagaimanapun kata Ayda lagi, kegagalannya membawa pulang semua kategori pada tahun ini tidak bermakna dirinya sudah tidak laku lagi tetapi mungkin rezeki pada kali ini tidak berpihak kepadanya. Bukan senang mahu mengekalkan kemenangan berturut-turut, semoga selepas ini Ayda akan terus bekerja keras di masa akan datang. (rtky/w)