fbpx

Isu Bersentuhan, Izzue Islam Minta Hormati Privasi

Pelakon Izzue Islam memberitahu isu isterinya tidak boleh berpegangan tangan dengan lelaki yang bukan muhrimnya itu telah dibincangkan mereka pada akhir tahun lepas dan mereka berdua bersama-sama meletakkan syarat tersebut demi menjaga keharmorniaan rumah tangga.

“Kita sama-sama sudah matang dan meletakkan syarat tak boleh bersentuhan begitu juga dengan isteri saya. Perkara ini sebenarnya sudah rancang pada tahun lepas tetapi mengamalkannya secara perlahan-lahan,” katanya yang ditemui di majlis tayangan filem Suami Aku Ustaz.

BACA: Mahu Jaga Status, Izzue Islam Enggan Adegan Bersentuhan Dengan Wanita Lain

Tambahnya lagi, isu ini tidak perlulah diperbesarkan kerana bagi dirinya itu adalah privasi mereka suami isteri dan terpulang pada individu masing-masing untuk menilainya.

“Sepatutnya benda ini tidak dijadikan isu kerana ianya personal kami, tidak perlulah untuk diperbesarkan atau diuar-uarkan dan sekiranya saya bersalaman dengan perempuan sekali pun, manalah tahu perempuan itu adalah sepupu atau mak cik saya ke kan?”

“Ini adalah hak individu masing-masing, ada orang pakai tudung & ada yang tak pakai. Dia bukan sebab islamik ke apa, tapi dia lebih kepada hak masing-masing. Saya tak salahkan atau marahkan sesiapa. Jadi tolong hormat privasi saya,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Izzue berkata apa yang dibuat ini adalah untuk menjaga hati isteri dan keluarga serta peminat-peminatnya.

“Sebenarnya kami buat benda ini untuk diri sendiri, menjaga hati isteri, peminat, keluarga serta mertua dan seluruh orang yang rapat dengan saya. Isteri saya juga turut melakukan perkara yang sama, dan apa yang saya buat ini bukanlah untuk menunjuk,” tambahnya lagi.

Sementara itu, jangan lupa saksikan filem lakonan terbaru Izzue Islam di samping pelakon hebat seperti Nora Danish dan Adi Putra dalam filem terbaru mereka yang diadaptasikan daripada novel berjudul Suami Aku Ustaz yang akan ditayangkan pada 14 Mei ini. Jom! (rtky/h)