fbpx

Imran Ajmain Harap Menerima Kerakyatan Warganegara Malaysia

Penyanyi dan pencipta lagu, Imran Ajmain yang ditemui semasa pelancaran album ketiganya yang berjudul Setulus Kasih berkata bahawa dia berharap untuk mendapatkan kerakyatan sebagai warganegara Malaysia supaya dapat berkarya secara lebih meluas.

“Di Singapura saya tutup sebelah mata dan lebih ingin dikenali sebagai salah seorang seniman di Malaysia dan berharap suatu hari nanti dapat kerakyatan di sini. Saya rasa keadaan ekonomi di Singapura yang pentingkan akademik dan ekonomi berbeza dengan saya sebagai seorang penghibur. Sebab itu saya sertai jelajah 15 tempat di Malaysia sebab seronok sangat,” katanya yang sudah 6 tahun secara rasminya berada di Malaysia.

Tambahnya lagi, disebabkan itu juga dia terhad untuk mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan kesannya dia tidak layak untuk menyertai sebarang anugerah atau pertandingan yang dianjurkan di Malaysia.

Bagaimanapun dia menghormati polisi yang telah dibuat dan tidak berasa terkilan dengan apa pun yang dihadapinya. Tetapi apa yang difokuskannya adalah kerja dan hasil karyanya sahaja berbanding populariti atau pun pertandingan.

“Saya tidak boleh bertanding seperti acara-acara AJL kerana lagu itu ditulis oleh saya. Lagi pula saya tidak mempunyai sebarang nama pena dan bagi saya biarlah jujur. Tetapi saya berpeluang untuk mencipta lagu buat penyanyi tersohor Anuar Zain berjudul ‘Cinta’ walaupun tidak dimuatkan ke dalam albumnya. Apa yang membuatkan saya gembira adalah apabila dia menyanyikan lagu itu di majlis-majlis makan malam dan akan menyebut nama saya,” katanya penuh gembira.

Bapa Hidap Penyakit Punca Imran Ajmain Menyepi, Hilang Fokus

Imran telah menyepi dari dunia hiburan untuk beberapa tahun, sejak lagu Dikalung Kasihan yang diterbitkan pada tahun 2012 untuk menghormati pemergian ayahnya iaitu seorang komposer Ahmad Husaini Ajmain pada 5 Mac 2013 yang menghidap barah pankreas.

“Saya balik ke Singapura untuk menjaga ayah dan seterusnya emak saya selepas ayah meninggal dunia. Selama 4 tahun itu juga saya bersyukur kerana ada royalti disebabkan itu saya mendapat pulangan yang lumayan. Hasil itu juga saya membawa emak ke Amsterdam selama 6 bulan berada di sana dan menetap di rumah kakak di bandar itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Imran yang akan mempromosikan album ‘Setulus Kasih’ ini bakal mengadakan persembahan akustik dalam sebuah jelajah sebanyak 15 lokasi termasuk Melaka, Kedah, Kuching, Singapura, Ipoh dan Penang bermula bulan April dan berakhir pada tarikh 13 Jun dalam mini konsert kemuncak di Talent Lounge, Empire Damansara. (rtky/h)

Gambar Ihsan: www.instagram.com/kaiostudio