fbpx

Hasnul Rahmat: Saya Tahu Batas Agama, Kesal Laporan Media

Menerusi penjelasan kepada Berita Harian, pelakon Hasnul Rahmat memberitahu bahawa dia masih mengetahui batas-batas agama selain terkilan dengan laporan media. Kata Hasnul, gambar yang dikongsikan di Instagram tersebut dilakukan secara spontan.

BACA: Pegang Anjing & Patung Jesus, Agama Hasnul Rahmat Jadi Pertikaian

“Semuanya bermula dengan blog yang memanaskan isu gambar itu. Sebenarnya ia sekadar patung di salah sebuah kafe milik rakan saya di Singapura. Tidaklah sehingga terpesong agama seperti yang didakwa kerana saya masih tahu batas-batas sebagai seorang Islam”

“Tohmahan yang dilemparkan juga tidak berasas kerana dilakukan tanpa usul periksa. Saya tidak mahu orang ramai terus membuat dosa ‘kering’ dengan menghamburkan cacian di dalam laman sosial Instagram,” katanya lagi yang kini sudah memadam gambar berkenaan di laman perkongsian gambar itu.

Selain itu, Hasnul juga turut menolak dakwaan bahawa perkara berkenaan dilakukan kerana ingin mempromosikan filem lakonan terbarunya, CCTV yang bakal ditayangkan di pawagam bermula pada 30 Julai ini.

“Tidak terfikir pun mengenai filem baru. Lagipun bukan saya yang keluarkan duit untuk filem itu. Saya hanya berlakon. Jadi tidak perlu untuk saya merancang strategi bagi meraih perhatian untuk ‘menjual’ filem itu,” katanya. (rtky/s)