fbpx

Hafreez Adam Tegur Peniaga Online Eksploitasi Gambarnya

Mungkin sebelum ini pelakon Hafreez Adam telah memberitahu sebab-musabab mengapa paras rupanya teruk dan berjerawat ketika di usia muda, dan rata-ratanya telah mengetahui punca sebenarnya.

BACA: Hafreez Adam Akui Malu Digosipkan Dengan Izreen Azminda

Lantaran itu, pelakon yang baru sahaja memenangi anugerah pelakon baharu lelaki popular (ABPBH 2014), cuba dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya sebagai testimoni untuk produk-produk tertentu bagi melariskan penjualan mereka.

Bagi pelakon yang membintangi drama berjudul ‘Hati Perempuan’ ini, dia menyerahkan segala-gala keputusan kepada pihak pengurusannya sama ada mahu mengambil tindakan atau berdiam diri.

“Benda ini saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk menguruskannya. Pada pendapat saya, perkara ini okay sebenarnya cuma tidak elok menyalahgunakannya, sebab saya tidak menggunakan produk itu, dan perkara ini akan saya serahkan kepada pihak atasan untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya yang ditemui di Majlis Maulid Akbar Selawat Perdana, kelmarin.

Tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru seperti saman-menyaman, Hafreez lebih selesa untuk menegur mereka ini terlebih dahulu dan menasihati mereka supaya berniaga secara lebih telus dan jujur.

“Saya tidaklah terus untuk menyaman atau apa pun, cuma keluarkan teguran dahulu. Tidak ada masalah sebenarnya untuk dijadikan motivasi untuk meningkatkan keyakinan kepada orang lain. Tetapi mereka menggunakannya untuk testimoni walhal saya tidak pernah menggunakan produk itu. Nasihat saya pada mereka berniagalah secara jujur dan halal,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, ada beberapa produk yang cuba bertanyakannya untuk menjadi duta tetapi bukanlah produk-produk yang berasaskan penjualan secara online.

“Untuk produk ada juga yang bertanya, tetapi yang menjualnya secara online belum lagi ditawarkan,” ujarnya. (rtky/hfz)