fbpx

Fizz Fairuz Jawab Isu Tuduhan Majlis Akikah Mewah dan Membazir

Selepas beberapa jam majlis akikah selesai diadakan, timbul pula komen-komen negatif segelintir peminat Fizz Fairuz dan Almy Nadia yang mendakwa mereka berdua mengadakan majlis akikah yang terlalu mewah.

Ada yang mengatakan majlis tersebut penuh dengan pembaziran dan seakan-akan mahu menunjuk kemewahan yang ada. Bagaimanapun, Fizz Fairuz menyangkal dakwaan tersebut kerana berpendapat bahawa dia mampu untuk mengadakan majlis tersebut.

“Itu merupakan rezeki buat puteri sulungnya yang pertama Nur Afrina Arianna, rezeki saya yang termampu. Kalau kita buat di kampung pun tetap sama, di mana saya perlu buat selawat, panggil pelajar-pelajar tahfiz, tahlil, marhaban dan itu adalah benda yang sama seperti mana yang saya lakukan di sini”

“Kenapa orang tak pertikaikan kalau kita buat di kampung dan kalau dipertikaikan apa yang saya buat itu membazir, tidak perlulah adanya lagi anugerah-anugerah atau majlis-majlis di Malaysia ini, tak payah buat sebab itu pun membazir,” katanya yang ditemui semasa Majlis Maulid Akbar Selawat Perdana kelmarin.

Tambahnya lagi, apa yang dilakukannya adalah atas dasar kemampuannya, dan tidak pernah baginya untuk membazir atau apa sahaja perkara negatif. Dia turut berkata, orang yang cuba untuk mengkritik atau memberikan komen-komen yang negatif adalah orang yang tidak bertamadun.

“Kita bukan kira membazir ataupun tidak, tetapi itu adalah di atas kemampuan. Saya mampu saya buat dan sekiranya saya melakukan majlis ini di kampung pun saya kena sembelih 2 ekor kambing, buat marhaban dan sebagainya. Benda ini perkara biasa”

“Tiap-tiap tahun orang akan bersalin, dapat baby dan apabila selepas pantang akan buat majlis akikah. Akikah ini benda yang wujud kita kena buat. Jadi orang luar yang cuba mempertikaikan dia itu tidak bertamadun”

“Kita tak menunjuk tetapi benda ini di ‘highlight’ terlalu besar oleh media. Saya ini artis bila kita buat majlis kita panggil wartawan. Mungkin ‘highlight’ itu yang nampak mewah, meriah dan besar. Buat untuk anak saya dan sebenarnya kita buat bersederhana sahaja, mungkin dekorassi yang menarik”

“Benda itu biasa sahaja dan saya telah mengehadkan apa-apa yang ada. Dibuat sekadar yang termampu. Anak pertama kita begitu ghairah untuk meraikannya. Saya seronok sangat dan buatlah apa yang nak buat. Kalau nak bertelagah benda-benda macam ini rasanya tak berguna”

“Benda ini tiada isu pun, kalau nak bercakap Malaysia hak bersuara, bersuaralah tapi jangan lebih-lebih sangat,” jelasnya panjang lebar.

Dalam pada itu, Fizz Fairuz memberitahu dia tidak berasa terkilan dengan hal-hal sebegitu kerana telah bersedia dengan apa yang bakal terjadi terhadap keluarganya.

“Tak pernah terkilan dengan benda-benda ini. Saya sudah bersedia dengan apa yang akan terjadi dan sebelum ini melihatkan rakan-rakan artis yang lain turut terkena tohmahan-tohmahan. Jadi saya dan isteri (Almy Nadia) kena bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan datang. Janji nawaitu kita betul, Insha Allah,” tambahnya.

Sementara itu, Fizz Fairuz akan mengikuti program Selawat Perdana seperti tahun lepas yang akan diadakan di Dataran Putra, Presint 3, Putrajaya pada Jumaat, 8 Mei 2015 ini. Apa lagi jom ramai-ramai berselawat.(rtky/hfz)