fbpx

Filem Minggu Ini: KIL

Apa yang anda lakukan untuk menolak sebuah cinta yang datang tanpa disangka? Apa yang anda akan lakukan apabila seseorang hadir dalam kehidupan normal anda, dan kehadirannya itu membuat hidup anda bagaikan kembali berbunga, kenal pelbagai warna tapi dalam masa yang sama, anda sendiri telah tersilap langkah.

Itulah KIL arahan Nik Amir Mustapha. Ia bukan salinan daripada filem Adjusment Bureau (2011). Ia adalah sebuah filem yang mesej sejagatnya adalah jangan bunuh diri dan jangan selfish. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri kerana pada penghujungnya nanti, kita sebenarnya bakal menyusahkan ramai orang.

Filem ini mengisahkan tentang kehidupan Akil (Redza Minhat) yang hidupnya anti sosial. Minda penonton akan dilekatkan dengan gambaran bahawa Akil adalah seorang yang suka menghabiskan masa di rooftop.

Membuat pelbagai rancangan untuk mengakhiri riwayatnya dengan terjun daripada bangunan tapi jangan risau, rancangan tersebut tidak pernah berhasil. Secara realitinya, kalau watak sekacak Akil benar-benar wujud, watak sebenarnya mungkin kasanova (okay, bergurau).

#01 Filem Minggu Ini - KIL - ROTIKAYA

Tertekan di atas desakan hidupnya, Kil mengambil jalan pintas untuk bunuh diri. Kil bukannya tidak rajin bekerja, cuma ada desakan lain yang menariknya untuk sama-sama hilang dari dunia. Dan berdiri di atas desakan itu, secara kebetulan, dia terserempak dengan flyer yang dilekatkan di dinding lorong kotor – dan segalanya bermula.

Keputusan terburu-buru untuk mati mengakibatkan dia bersetuju dengan syarat mudah yang ditetapkan oleh badan NGO – Life Action Beurau (LAB). Namun kehadiran Zara (Cristina Suzanne) mengubah segalanya. Bermula dengan Zara, Kil kembali bersemangat untuk terus hidup namun dia terikat dengan perjanjian LAB atau dengan maksud lain, dia sedang berlumba dengan kematian.

Kehadiran Zara dalam hidup Kil adalah sebagai salah satu penghubung untuk penonton mengetahui serba sedikit tentang latar belakang Akil. Ya, mereka memang manis berdua. Detik-detik awkward dan sindiran sinis mengenai industri perfileman tanah air berselang-seli ketika mereka keluar janji temu. Zara nampak manis namun dalam masa yang sama, dia turut menyimpan rahsia.

Kesimpulan

Apalah nilai sebuah filem jika ia tidak menyentuh langsung isu kemanusiaan, atau hadir sebagai hiburan kosong semata? Kil tampil berbeza, syukur juga tiada unsur rempit dan gangster dalam filem ini.

Apa yang penulis dapat rungkaikan, babak di mana Kil cuba membunuh diri dengan menggunakan asap kereta, tidak ubah seperti manusia yang sentiasa mahu mencari jalan keluar daripada masalah. Asap putih itu sendiri tidak mahu menjemput Kil untuk melihat ambang kematian kerana setiap manusia itu bukan dilahirkan untuk lari daripada masalah.

#04 Filem Minggu Ini - KIL - ROTIKAYA

Selain itu, filem ini juga bercerita mengenai harapan. Babak di mana Zara merenung ke luar tingkap, bersama dua lapisan bayangan dirinya memberi gambaran jelas, dia terperangkap di antara dua haluan. Renungan ke luar jendela menggambarkan bahawa dia mahu bebas dan harapan untuk itu sentiasa ada.

Dan akhir sekali, apabila anda selesai menonton filem ini, ambil masa sebentar dan berfikir – di dalam setiap kesilapan kita lakukan, kebanyakannya berpunca daripada diri sendiri dan sebenarnya peluang itu sentiasa terbuka luas, seluas renungan Kil menghadap kota raya di atas rooftop.

Apa-apa pun, secara peribadi penulis sukakan ending yang berbeza. Biar sakit tapi dalam kesakitan itu kita belajar menerima realiti.

Berdasarkan satu pengalaman baru menonton filem hasil karya anak tempatan yang mempunyai visi tersendiri dalam industri, kami beri 4 dari 5 biji ROTIKAYA. Kami tunggu filem anda seterusnya.